Tasik Chini diwarta untuk pelihara kelestarian alam: Exco

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Keputusan kerajaan negeri Pahang mewartakan Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini adalah bagi memastikan kawasan itu dipelihara dan diurus selaras dengan Dasar Perhutanan Negara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pewartaan yang dibuat pada 2019 itu juga bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersetuju agar tiada kelulusan baharu untuk melombong di kawasan terbabit selepas tasik terbabit diwartakan.

"Bagaimanapun, kita tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ (Tasik Chini), namun ia bukan aktiviti baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.

"Operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti tersebut. Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan.

"Jadi kebenaran itu tentunya bukan mudah dan perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.

Tambahnya, ini bermaksud kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan dan pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri sentiasa komited melaksanakan aspek pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai tapak rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009.

"Pada 2019, kita telah meluluskan peruntukan Projek Tanam Semula berjumlah RM250,000 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong.

"Ini bermakna kawasan lombong tersebut akan dipulihkan selepas operasinya tamat," ujarnya.

Pada 9 Jun lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini sehingga kini dikategorikan bersih berdasarkan pemantauan yang dilakukan jabatan berkenaan.

Dapatan ini berdasarkan pemantauan bermula tahun 2005 lagi, sejak Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh KeTSA.

Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi-lokasi yang ditetapkan dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.