Pemandu teksi dikompaun rentas negeri hantar barang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAMPIN - Polis mengeluarkan kompaun terhadap seorang pemandu teksi di sekatan jalan raya (SJR) Air Kuning Selatan di sini pada Jumaat lepas kerana menyalahgunakan surat kebenaran yang dikeluarkan pihak bertanggungjawab.

Ketua Polis daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, anggota bertugas telah menahan sebuah kereta jenis E-hailing (teksi) dari arah Nyalas, Melaka ke Air Kuning dipandu seorang lelaki kira-kira 8.20 malam.

"Pemandu berkenaan memberitahu dia ingin merentas negeri untuk menghantar barang kering ke sebuah estet di Air Kuning Selatan.

"Pemeriksaan terhadap dokumen yang dikemukakan oleh pemandu berkenaan mendapati bahawa dia ada membawa surat kebenaran beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk perkhidmatan teksi dan E-hailing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, tindakan kompaun diambil ke atasnya kerana dia telah menyalahguna surat kebenaran dengan tujuan lain. Hasil pemeriksaan mendapati tiada penumpang di dalam kenderaan tersebut.

"Alasan pemandu tersebut untuk menghantar barang kering adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 kerana telah menyalahguna surat kebenaran.

"Kompaun telah dikeluarkan oleh pegawai pemantau atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan 17, Akta 342," katanya.

Pada Sabtu, Gabungan Teksi Malaysia meluahkan rasa sedih dan kesal dengan pertindihan SOP PKP 3.0 yang didakwa masih tidak selesai selepas seorang pemandu teksi ditahan dan disaman dalam sekatan jalan raya (SJR) di Tampin kerana kesalahan rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

Menerusi laporan berita tersebut turut menyatakan, dalam SOP berkenaan tidak memaklumkan bahawa pemandu teksi perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi atau rentas negeri dari mana-mana kementerian atau agensi.