Berjudi di tokong sebab bosan

Polis menahan sekumpulan lelaki yang bermain judi taruh di sebuah tokong di bandar Segamat pada Sabtu.
Polis menahan sekumpulan lelaki yang bermain judi taruh di sebuah tokong di bandar Segamat pada Sabtu.
A
A
A

SEGAMAT- Tindakan lapan lelaki yang ingin menghilangkan rasa bosan dengan berjudi di sebuah tokong akhirnya memakan diri apabila ditahan polis dalam satu serbuan di bandar ini pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, serbuan itu dilakukan oleh sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek lelaki berusia antara 41 hingga 78 tahun itu sedang asyik bermain judi taruh di tokong berkenaan.

"Kesemua suspek yang merupakan orang tempatan mengaku berkumpul dan berjudi di situ bagi menghilangkan rasa bosan.

"Mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan kita turut merampas wang tunai RM2,397 dan peralatan judi.

"Mereka turut dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 iaitu tiada penjarakan fizikal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam serbuan berasingan di Buluh Kasap pula, 11 remaja termasuk dua perempuan ditahan kerana berjudi di sebuah rumah kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.

Remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun itu mengambil peluang berjudi ketika ketiadaan ibu bapa penganjur yang berusia 17 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan kita turut merampas wang tunai RM1,190 dan peralatan berjudi.

"Kesemua mereka turut dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 manakala penganjur dikompaun RM20,000," ujarnya.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 33 tahun dikompaun RM1,500 kerana gagal mendaftar masuk melalui MySejahtera atau tulis di buku.

Lelaki itu dikompaun semasa operasi pemantauan pematuhan di Buluh Kasap kira-kira jam 4.30 petang Sabtu.