Kerajaan sasar 200,000 suntikan vaksin setiap hari

Ahmad Amzad (tengah) meninjau proses pemberian vaksin di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
Ahmad Amzad (tengah) meninjau proses pemberian vaksin di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan terus meningkatkan saluran pemberian vaksin dengan sasaran 200,000 divaksin setiap hari bermula Julai sekali gus dapat meminimumkan tempoh menunggu bagi pemohon yang telah mendaftar.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai melalui peningkatan kuantiti suntikan dengan menambah lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan tenaga kerja terutama vaksinator.

"Kita kini dalam proses meningkatkan kuantiti suntikan, dalam tempoh sebulan lalu antara 30,000 hingga 40,000 individu disuntik dalam sehari. Pada Jun kita telah capai sasaran suntikan kepada 150,00 orang dan kini ditingkatkan kepada 200,000 orang sehari," kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Dalam perkembangan sama, Amzad berkata, setakat ini 4.3 juta dos vaksin telah diberikan dan jumlah itu masih jauh berbanding pencapaian 80 peratus imuniti kelompok melibatkan 26.5 juta penduduk.

UniSZA jelasnya, menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Terengganu yang dijadikan sebagai PPV melalui kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Banyak usaha sedang dan akan dilakukan untuk meningkatkan jumlah suntikan harian seperti yang sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak Februari lalu.

"Setakat ini, sebanyak 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengambil inisiatif untuk menubuhkan PPV. Kita menyasarkan 430,000 suntikan vaksin dalam sebulan bagi membantu kerajaan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok akhir tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, penggunaan vaksin yang dibekalkan di Terengganu merupakan yang tertinggi dalam negara pada kadar 92.8 peratus.

"Daripada 183,700 dos dibekalkan, sebanyak 92.8 peratus telah digunakan dan kini ia berbaki 13,239 dos sahaja.

"Ini merupakan pencapaian terbaik mengatasi negeri lain," katanya.

Sementara itu, Hassan Basri berkata, seramai 39,000 penduduk sekitar Kuala Nerus akan menerima vaksin di PPV UniSZA dalam tempoh sebulan.

Menurut beliau, seramai 350 kakitangan UniSZA terdiri dalam kalangan petugas barisan hadapan dan sukarelawan terlibat dalam proses pemberian vaksin itu.

"PPV ini menyasarkan pemberian vaksin kepada 1,000 orang sehari. Kita juga menyediakan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes tertentu seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan sasaran 300 orang setiap sesi.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk mengadakan program bantuan suntikan vaksin kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman di Terengganu," katanya.