Lapan kaki judi dicekup, dikompaun RM4,000

No Image Caption
A
A
A

PASIR MAS - Seramai lapan individu 'kaki judi' dicekup polis ketika sedang leka bermain judi daun terup di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Che Musa, Meranti, di sini pada Sabtu.

Lapan lelaki berusia antara 27 hingga 50 tahun itu turut dikompaun RM4,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan jam 11.15 malam itu, pihaknya turut merampas 52 keping daun terup yang digunakan oleh suspek untuk berjudi.

"Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM188 dan sehelai kain selimut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, sejumlah 137 biji pil kuda turut dirampas di atas lantai tempat kesemua suspek bermain judi.

Beliau berkata, kesemua suspek kemudian dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Mohd Nasaruddin berkata, kes disiasat bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, kesemua suspek turut disiasat mengikut Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindahan 2021) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka yang ditetapkan di bawah peraturan 16 P.U (A) 225/202.

Artikel Berkaitan: