Pulau Pinang nafi PSR bawa malapetaka kepada nelayan

Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan projek PSR membawa malapetaka kepada nelayan di negeri tersebut.
Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan projek PSR membawa malapetaka kepada nelayan di negeri tersebut.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan yang mengatakan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) akan membawa malapetaka kepada nelayan terutamanya di kawasan selatan negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek mega itu mengambil masa yang agak lama dan tidak akan menghalang nelayan untuk terus turun ke laut mencari rezeki.

Menurutnya, tempoh masa yang diambil untuk membina sebuah pulau adalah dianggarkan 20 tahun.

"Dakwaan bahawa projek PSR adalah malapetaka kepada nelayan adalah tidak benar. Projek itu akan bermula dengan pembinaan sebuah pulau yang mana ia akan mengambil masa kira-kira 20 tahun.

"Dalam tempoh itu laluan nelayan untuk mencari rezeki ke laut masih luas, selain alur navigasi seluas 250 meter (m) di antara PSR dan pulau utama juga akan memberi akses kepada nelayan untuk ke laut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mendakwa, PSR yang dirancang diteruskan kerajaan Pulau Pinang akan menjadi malapetaka kepada nelayan di negeri ini khususnya dan menjejaskan sektor perikanan negara.

Tegasnya, ketika Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha keras bersama pelbagai pihak menambah baik penyelesaian untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) ikan negara, kerajaan negeri tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pendaratan ikan di kawasan selatan pulau di negeri ini hanya menyumbang empat peratus kepada jumlah pengeluaran ikan bagi seluruh negeri pada 2015.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah pendaratan yang disumbangkan dari kawasan selatan pulau Pulau Pinang adalah berjumlah 0.2 peratus. Kawasan yang menyumbangkan empat peratus jumlah pengeluaran ikan adalah tidak terhad di tapak PSR sahaja dan kawasan penangkapan ikan nelayan pesisir pantai selatan Pulau Pinang pula adalah jauh lebih luas dan jauh dari tapak penambakan.

"Oleh demikian, nelayan masih ada tempat yang luas untuk aktiviti penangkapan ikan," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang bakal mewujudkan tanah baharu untuk pembangunan industri, komersial dan perumahan serta mewujudkan ribuan pekerjaan melalui projek tersebut.

"Melalui Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), nelayan akan mendapat manfaat selain dapat memperbaiki keadaan sosioekonomi termasuk memberi peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan kepada anak-anak mereka.

"Tanpa PSR, komuniti nelayan akan kekal dengan keadaan mereka yang sedia ada tanpa menikmati apa-apa perubahan, sementara Pulau Pinang pula akan kehilangan peluang untuk membangun serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang," katanya.

Februari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kerja tambakan laut untuk PSR akan bermula antara hujung Mac hingga awal April ini selepas kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) diperolehi.

Kerja penambakan itu akan bermula secara berperingkat dengan Fasa 1 di Pulau A terlebih dahulu manakala kadar tambakan terkawal dijangka akan dijalankan pada keluasan 10.1 hektar sebulan dan akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan iaitu sehingga 2027.