Jentera PRU UMNO digerakkan bantu rakyat terkesan Covid-19

Tajuddin memeriksa sebahagian daripada 3,500 bantuan makanan yang diagihkan pada Ahad.
Tajuddin memeriksa sebahagian daripada 3,500 bantuan makanan yang diagihkan pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Jentera pilihan raya UMNO di semua 22,000 cawangan di seluruh negara akan digerakkan bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 yang masih berlarutan sehingga kini.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, arahan itu telah diberikan agar setiap barisan jentera baik di peringkat bahagian atau pusat daerah mengundi (PDM) mengalihkan fokus daripada menghadapi pilihan raya kepada membantu rakyat yang terkesan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, kekuatan keahlian dan logistik yang dimiliki parti itu di setiap 191 bahagian digunakan bagi tujuan agihan bantuan serta penyediaan pengangkutan bagi melancarkan proses saringan serta suntikan vaksin.

"Sebelum ini saya berjumpa dengan setiap Perhubungan UMNO negeri dan turun padang di semua kawasan Parlimen berbincang mengenai kesiap siagaan pilihan raya. Secara keseluruhannya, jentera parti berada dalam keadaan siap sedia menghadapi pilihan raya.

"Tetapi apabila berlaku Covid-19 yang semakin menjadi-jadi hingga kes pun mencecah 6,000, saya berpesan kepada barisan jentera untuk ubah fokus kepada membantu rakyat dahulu.

"Makna kata tak ada cerita nak pilihan raya sebagaimana yang diharapkan itu. Desakan kita pada hari ini ialah untuk kita melakukan apa juga yang boleh untuk membantu rakyat, jika tiada bantuan makanan, kita bantu cara lain seperti menghantar mereka ke pusat-pusat saringan dan pemberian vaksin," katanya.

Tajuddin ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media pada Ahad.
Tajuddin ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan prihatin rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, UMNO kini mempunyai 3.5 juta keahlian dan sekiranya setiap daripada mereka memainkan peranan membantu meringankan beban penduduk di setiap pelusuk kampung dan daerah, ia sudah cukup memberi keselesaan dan kelegaan kepada rakyat.

"Kerajaan nak jaga 32 juta penduduk dalam tempoh Covid-19 ini bukan satu kerja mudah, UMNO ada tenaga dan kemampuan yang boleh digerakkan, sudah tentu kita dapat membantu," katanya.

Mengulas mengenai program bantuan terbabit, Tajuddin berkata, sebanyak 10,000 bantuan makanan sedia diagihkan kepada penduduk di Parlimen itu yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Katanya, ia adalah bantuan terbesar setakat ini merangkumi bekalan makanan kering dan basah seperti beras, minyak, ikan, ayam dan sayuran bernilai RM100 khusus untuk kumpulan B40.

"Hari ini (Ahad) sahaja sebanyak 3,500 kotak makanan telah diagih. Agihan bantuan ini akan digerakkan setiap ahli jawatankuasa parti di empat peringkat di kawasan masing-masing selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.