Pendaratan ikan seluruh negara catat 41,364 tan metrik

Che Abdullah (kiri) diiringi Noh (kanan) meninjau bekalan ikan di Pasar Nelayan Sungai Yu, Kuala Selangor pada Ahad.
Che Abdullah (kiri) diiringi Noh (kanan) meninjau bekalan ikan di Pasar Nelayan Sungai Yu, Kuala Selangor pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pendaratan ikan di seluruh negara mencatatkan sejumlah 41,364.82 tan metrik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM164 juta dari Januari hingga Mei lalu.

Unit Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi pendaratan ikan di Selangor sahaja pada tempoh sama sebanyak 26,455.55 tan metrik dicatatkan dengan nilai sebanyak RM53.6 juta.

Menurut kenyataan tersebut, daripada jumlah itu, sebanyak 2.163 juta kilogram (kg) dengan nilai jualan RM24.4 juta dicatatkan daripada pasar nelayan seluruh negara.

"Pasar nelayan di Selangor pula mencatatkan 82,058.85 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM1.5 juta sepanjang tempoh sama," kata kenyataan itu pada Ahad.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi telah mengadakan tinjauan ke Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Pasar Nelayan Sungai Yu pada Ahad bagi melihat sendiri kelangsungan bekalan makanan dan operasi rantaian pemasaran ikan di kawasan ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal; Ketua Pengarah LKIM, Yussoff Othman dan Pengarah LKIM Negeri Selangor, Kusairi Hussin.

Kenyataan itu memaklumkan, pengguna dinasihatkan tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik kerana bekalan ikan sentiasa mencukupi.

Selain itu, kenyataan itu menjelaskan, pengguna juga boleh mendapatkan bekalan ikan di 89 pasar nelayan seliaan LKIM yang turut mempunyai 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"LKIM telah memainkan peranan yang penting dalam memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi terutama sewaktu pelaksanaan tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," jelasnya.

Menurut kenyataan, dianggarkan keperluan bekalan ikan bagi rakyat di negara ini adalah sekitar 155,000 tan metrik sebulan.

"Stok semasa bekalan ikan negara pada ketika ini adalah sekitar 185,000 tan metrik sebulan dan dijangka mencukupi sepanjang tempoh PKP.

Mengulas berhubung tinjauan itu, kenyataan memaklumkan, Che Abdullah melakukan lawatan sekitar Kompleks LKIM Kuala Selangor yang menempatkan Pejabat LKIM Selangor Utara dan Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor.

"Kompleks itu turut menempatkan Pusat Pengisytiharan e-Pendaratan Ikan LKIM, Projek Jualan Runcit Minyak Diesel PNK Kuala Selangor, medan ikan bakar dan jualan ikan segar," katanya.

Kata kenyataan itu, kemudahan ini disediakan bagi nelayan Kuala Selangor untuk berurusan dengan pihak LKIM dan juga masyarakat setempat.

"Selain itu, Che Abdullah juga meluangkan masa melawat Pasar Nelayan Sungai Yu yang menempatkan enam peniaga.

"Jumlah jualan di Pasar Nelayan Sungai Yu bagi tempoh Januari hingga Mei lalu adalah sebanyak 55,834 kg dengan nilai jualan RM961,964.00," kata kenyataan terbabit.