Negeri Sembilan catat 33,451 kes hasil saringan bersasar

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Peningkatan kes Covid-19 di Negeri Sembilan kebelakangan ini adalah hasil saringan bersasar dalam kalangan para pekerja sektor perindustrian, kontak rapat dan bergejala.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan memberitahu, peningkatan kes import dari negeri jiran ekoran rakyat negeri ini yang bekerja di negeri tersebut sekali gus menjangkiti ahli keluarga.

"Masih ada juga kes-kes yang dikesan daripada kluster komuniti yang berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Namun begitu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan telah menurun dari 1.23 pada 5 Jun kepada 1.05 pada Sabtu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, sehingga Sabtu, jam 12 tengah hari, terdapat 618 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS).

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah sebanyak 33,451 kes dengan 5,373 kes sedang dirawat dan 208 kematian telah direkodkan," katanya.

Dalam pada itu, Veerapan turut menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

"Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar rumah jika tiada keperluan dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.

Artikel Berkaitan:

"Majikan juga digalakkan supaya memberi kebenaran kepada pekerja bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa," katanya.