Dulu ragu-ragu sekarang lebih yakin ambil vaksin

Ramadhan
Ramadhan
A
A
A

KUALA NERUS - Penerima vaksin mengakui sebelum ini berasa ragu-ragu untuk mengambil suntikan, namun sekarang lebih yakin dan telah mengambil dos pertama vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.

Ramadhan Awang, 35, berkata, perasaan kurang yakin timbul setelah dia menerima banyak maklumat mengenai keburukan vaksin yang disebarkan menerusi media sosial.

"Sebelum ini, saya akui agak was-was untuk ambil vaksin sebab terbaca maklumat yang disebarkan mengenai kesan sampingan vaksin. Setelah mendapat maklumat melalui saluran yang betul, saya kembali yakin dan telah mendapatkan dos pertama hari ini.

"Saya juga ingin sarankan kepada sesiapa yang belum mendaftar untuk berbuat demikian kerana vaksinasi ini kaedah kita menjaga daripada penularan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui selepas mengambil suntikan vaksin Sinovac di PPV institusi pengajian tinggi (IPT) UniSZA pada Ahad.

Sementara itu, senada dengan Ramadhan, Mohd Ridzowan Adam, 63, berkata, pada mulanya dia juga merasa ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana dipengaruhi maklumat mengenai kesan suntikan vaksin yang disebarkan di media sosial.

"Banyak maklumat tular mengenai kesan dan keburukan vaksin yang pada awalnya menyebabkan saya kurang yakin untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Namun, selepas pelbagai maklumat disebarkan melalui saluran rasmi kerajaan, perasaan yakin semakin bertambah dan saya sarankan mana-mana yang belum vaksin supaya segera dapatkan suntikan ini untuk mencegah penyebaran Covid-19," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Mad Jusoh Ali, 68, berkata, dia mendapatkan suntikan vaksin atas kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat informasi mengenai vaksin melalui siaran televisyen dan pada saya ia bagus untuk mencegah Covid-19.

"Saya ambil vaksin kerana merasakan ia langkah terbaik dan saya sarankan orang ramai dapatkan vaksin kerana mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya.

Seramai 150 orang mendapatkan suntikan vaksin Sinovac melalui PVV UniSZA di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS) dan Dewan Perdana di Kampus Gong Badak yang memulakan operasi pada Ahad.

PPV UniSZA merupakan inisiatif pusat pengajian terbabit dengan usahasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kerajaan Negeri Terengganu.

PVV berkenaan dijangka mampu memuatkan lebih 500 orang pada satu-satu masa dengan sasaran 1,000 individu divaksin dalam tempoh sehari.