Hospital medan: Rakyat perlu ambil serius penularan Covid-19

Hasni (tengah) bersama tetamu lain meninjau keadaan Hospital Medan di HSA Johor Bahru pada Ahad.
Hasni (tengah) bersama tetamu lain meninjau keadaan Hospital Medan di HSA Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hospital medan yang akan beroperasi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Khamis diharap akan mewujudkan kesedaran rakyat Johor tentang penularan Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini selain terdapat kawasan Felda yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menimbulkan kebimbangan.

Menurut beliau, kerajaan negeri bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akhirnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina hospital medan di HSA Johor Bahru bagi membantu merawat pesakit Covid-19.

"Hospital medan ini terletak berhampiran jalan utama di banda raya Johor Bahru jadi rakyat sendiri akan merasakan betapa seriusnya keadaan Covid-19 dan tidak mengambil mudah tentang penularan wabak ketika ini.

"Rakyat Johor bertuah adanya hospital medan dibina di negeri ini. Bukan hanya kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan tetapi dalam masa yang sama boleh menjadi 'advokasi' kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pembinaan hospital medan di HSA Johor Bahru di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Sementara itu, Dr Adham berkata hospital medan di HSA Johor Bahru ini akan membantu kadar perawatan dan kesembuhan Covid-19 di Johor.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, selain HSA, terdapat hospital lain yang turut merawat pesakit Covid-19 peringkat empat dan lima iaitu Hospital Sultan Ismail Johor Bahru dan hospital daerah di Kluang, Batu Pahat, Muar serta Segamat.

"Sebuah lagihospital medan dibina ATM di HSA, Johor Bahru. KKM memiliki 12 fasiliti hospital di Johor yang merawat kes-kes Covid-19.

"KKM harap pembinaan hospital medan ini dapat membantu meningkatkan kadar perawatan dan kesembuhan penyakit Covid-19 di negeri ini," katanya.