Alumni bantu pelajar raih 9A+

Muhammad Khairul (kanan) menerima kunjungan Pemuda Armada Bersatu Negeri di sini pada Ahad.
Muhammad Khairul (kanan) menerima kunjungan Pemuda Armada Bersatu Negeri di sini pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Menjadikan kejayaan alumni di luar negara sebagai contoh, seorang pelajar dari Kampung Landak, Pengkalan Chepa di sini akhirnya berjaya meraih 9A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Muhammad Khairul Amirin Yaacob, 18 tahun yang mengimpikan untuk melanjutkan pengajian ke United Kingdom memberitahu, salah seorang alumni yang menjadi idola kepadanya ialah kakaknya sendiri, Nur Alya Asiha Yaacob, 24 tahun.

Anak bongsu dari dua beradik itu memberitahu, pengalaman yang ditimba kakaknya di luar negara menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk berusaha keras mencapai kejayaan cemerlang dan membantu mengubah nasib keluarganya.

“Ramai alumni sekolah saya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mereka sering dijemput hadir memberikan motivasi kepada kami semua. Daripada situlah bermulanya episode saya tanamkan dalam diri untuk melangkah seperti mereka.

“Tambahan pula kakak saya juga belajar di luar negara. Pengalaman, budaya dan cara pembelajaran mungkin berbeza, itulah yang kita perlu cuba. Sama juga dengan pengalaman kita belajar ketika Covid-19," katanya kepada pemberita ketika di temui di kediamannya di sini ketika menerima kunjungan Pemangku Ketua Pemuda Armada Bersatu Kelantan, Nas Azreel Ahmad Nas Rudin pada Ahad.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra itu berkata, walaupun berdepan pelbagai kekangan sehingga terpaksa mengulangkaji sendiri dan sebagainya, namun itu bukan alasan buatnya dan Alhamdulillah akhirnya membuahkan kejayaan akhirnya.

Ketika ditanya mengenai kepayahan ‘belajar sendiri’ yang terpaksa dilalui sepanjang tempoh penularan CVovid-19, Muhammad Khairul berkata, dia cuba sedaya upaya untuk menghadiri setiap Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun kadangkala menghadapi masalah rangkaian internet.

“Kakak ada bagi pinjam komputer riba dia tapi itupun rosak juga sebab sudah terlalu lama. Jadi saya guna telefon sahajalah. Kalau ada masalah capaian internet terpaksalah saya belajar sendiri atau telefon kawan untuk bincang. Kebanyakkannya saya ulang kaji sebelum cikgu ajar, supaya saya tidak terlepas dan boleh memahami dengan jelas,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nas Azreel berkata, pihaknya kagum dengan pencapaian yang diperoleh semua pelajar lepasan SPM tersebut dan berharap mereka dapat mencapai impian masing-masing.

“Walaupun dalam tempoh pandemik ini, namun usaha untuk sambung belajar mesti diteruskan. Kami pun turut membantu beberapa orang pelajar sebelum ini untuk memudah cara mereka menyambung pelajaran masing-masing.

“Insya-ALLAH untuk Muhammad Khairul pun kami akan bantu, berdasarkan keperluan seperti komputer riba dan peralatan pembelajaran dia sama ada dia belajar dalam negara atau luar negara.

"Ini termasuk juga dengan pinjaman pendidikan mahupun biasiswa, pelbagai cara boleh dilakukan walaupun dalam tempoh ini dan kami akan membantu memudahkan segala urusan nanti,” katanya.