350 penduduk Kampung Lakai jalani PKPD

Noor Azmi (kanan) ketika meninjau keadaan sekitar kampung itu pada Ahad.
Noor Azmi (kanan) ketika meninjau keadaan sekitar kampung itu pada Ahad.
A
A
A

JELEBU - Lebih kurang 350 penduduk di 135 rumah di Kampung Lakai di sini terlibat dalam Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam Isnin hingga 27 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof berkata, setakat ini kesemua penduduk telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat bermula 4 Jun lepas.

"Bayi berusia lapan bulan dan warga emas berusia 80- an antara yang menjalani ujian saringan tersebut dan sehingga ini seramai 96 penduduk yang disahkan positif wabak itu.

"Keperluan seperti barang asas dapur telah dihantar kepada penduduk sebaik sahaja mereka mula di kuarantin sejak minggu lalu, " katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan tinjauan di kampung berkenaan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, selain itu bahan mentah seperti ayam dan ikan turut dihantar kepada penduduk tanpa ada yang terkecuali.

"Cabaran utama petugas yang melaksanakan PKPD di sini antaranya terdapat lapan laluan tikus yang boleh menghubungkan Kampung Lakai dengan kampung berhampiran.

"Jadi kita bukan sahaja meletakkan batu penghadang pada masa sama turut meletakkan kawad duri dilaluan berkenaan," katanya.

Noor Azmi berkata, keperluan penduduk seperti makanan akan menjadi keutamaan pelbagai pihak termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan UMNO bahagian Jelebu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberi sumbangan makanan dan barang keperluan dilarang menghantar sendiri ke rumah penduduk.

" Sebaliknya mereka perlu menghantar barangan tersebut ke Pusat Operasi PKPD di Stesen Mardi Jelebu sebelum diagihkan oleh JKM," katanya.

Justeru, kita berharap penduduk dapat meningkatkan displin diri yang tinggi sekali gus mematuhi arahan PKPD bagi memastikan penularan wabak dapat dihapuskan.