Polis sahkan terima laporan bayi tertukar

Siti Jamumall memaklumkan tertukar bayi apabila melihat tag nama di kaki anak itu.
Siti Jamumall memaklumkan tertukar bayi apabila melihat tag nama di kaki anak itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin iaitu satu daripada pasangan yang terlibat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 9 pagi Ahad.

“Laporan polis dibuat selepas si suami menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

"Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terkejut bayi tertukar di hospital

Menurut laporan media, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada awal pagi Jumaat, manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang Khamis.

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital telah membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah pada Sabtu.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam Sabtu yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Artikel Berkaitan:

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya, bagaimanapun bercadang mengambil tindakan undang-undang ekoran kecuaian hospital berkenaan dan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan. - Bernama