Pemuda Pas Selangor tawar khidmat guaman percuma kepada 'rider'

Pemuda Pas Selangor menawarkan khidmat guaman percuma kepada penghantar makanan yang terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Way, Petaling Jaya, Jumaat lalu.
Pemuda Pas Selangor menawarkan khidmat guaman percuma kepada penghantar makanan yang terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Way, Petaling Jaya, Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menawarkan khidmat guaman percuma buat lima penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di Sungai Way, Petaling Jaya, pada Jumaat lalu.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, usaha itu sebagai langkah kebersamaan dalam semangat mempertahankan kesucian agama Islam daripada sebarang provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak terlibat.

Beliau berkata, berikutan itu, Pemuda Pas Selangor akan bekerjasama dengan Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Malaysia (LUHAM) bagi menawarkan perkhidmatan itu kepada penghantar makanan terbabit.

"Pemuda Pas Selangor turut mengecam sikap provokasi dibuat oleh individu terbabit yang secara jelas tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini.

"Insiden yang tular itu menunjukkan secara jelas provokasi penghinaan lelaki terbabit yang tidak menghormati penganut agama Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lima penghantar makanan berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan polis kerana memukul seorang pelanggan berusia 29 tahun yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, lima penghantar makanan dan pelanggan itu ditahan reman dua hari hingga hari ini (Ahad) dan pihaknya akan meneliti hasil siasatan untuk tindakan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes gaduh: Pelanggan, lima penghantar makanan direman

Artikel Berkaitan:

Pelanggan, lima penghantar makanan ditahan kes gaduh

Dalam pada itu, Hanafi berkata, Pemuda Pas Selangor turut menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan ke atas individu yang mengeluarkan kata-kata provokasi agama itu sehingga menyebabkan insiden pergaduhan tersebut berlaku.

"Pihak terlibat perlu dikenakan hukuman setimpal kerana menjadi penyebab kepada tercetusnya ketegangan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini," katanya.