Dikompaun RM3,000 ceroboh kawasan PKPD cari siput

Seorang lelaki yang menggunakan alasan mencari siput dikompaun RM3,000 kerana menceroboh ke kawasan PKPD.
Seorang lelaki yang menggunakan alasan mencari siput dikompaun RM3,000 kerana menceroboh ke kawasan PKPD.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang menggunakan alasan mencari siput dikompaun RM3,000 kerana menceroboh ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu, di sini pada Ahad.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan pasukan polis pada jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebelum itu pasukan pemantau polis bermotosikal yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis EX 5 berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di kawasan tali air.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek tinggal Kampung Cherang Melintang, Tumpat dan menceroboh ke kawasan PKPD melalui Tendong.

“Suspek dipercayai menceroboh melalui laluan tikus dan semasa ditahan memberitahu mahu mencari siput.

“Pemeriksaan tubuh badan suspek menjumpai pisau lipat dan pemutar skru,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, barangan itu dirampas dan suspek dibawa ke balai polis Wakaf Bharu, Tumpat untuk siasatan lanjut.

“Ujian urin terhadap suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine dan dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

“Kompaun menceroboh lokaliti PKPD dibuat mengikut Peraturan 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak tiga kes pergerakan melebihi 10 kilometer (km) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini dengan pesalah masing-masing dikompaun RM1,500.

Dalam perkembangan kes pemotongan duri kawat di dua lokasi PKPD sama dipercayai dilakukan oleh individu setempat lebih daripada seorang.

“Siasatan masih dijalankan dan kawalan diperketatkan di laluan-laluan tikus bagi menangkap pelaku-pelaku tersebut,” katanya.