'Henti mencemuh anggota PDRM'

 Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Cemuhan berlebihan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berleluasa pada masa kini tidak sewajarnya berlaku.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, ini kerana hal mengenai disiplin dan integriti dalam PDRM merupakan perkara yang paling dititikberatkan oleh agensi itu.

“Isu mengenai disiplin dan integriti PDRM adalah satu perkara yang diutamakan.

“Bukan PDRM saja mana-mana jabatan kerajaan, isu integriti dan disiplin adalah sangat penting dan ia perlu diamalkan setiap masa untuk mewujudkan satu imej yang baik untuk mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkenaan cemuhan berlebihan terhadap anggota PDRM pada masa kini.

Mengulas lanjut, Lam Thye menambah, isu berkaitan integriti adalah sesuatu yang diperlukan bagi memastikan semua agensi pelaksanaan kerajaan dapat berfungsi demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, menyentuh mengenai soal pelanggaran disiplin, tidak dinafikan masalah itu wujud bukan sahaja di PDRM tetapi di mana-mana jabatan kerajaan atau swasta.

Beliau turut percaya bahawa mereka yang melakukan kesalahan berkaitan integriti atau pelanggaran disiplin hanya melibatkan segelintir anggota.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak seharusnya menjadi cerminan kepada keseluruhan anggota yang bertugas atau institusi PDRM.

“Misalnya, jika pegawai bank menerima rasuah, ia bukanlah kesalahan seluruh institusi perbankan dan ketika wujud tidak amanah dalam pemberian bantuan oleh seorang pegawai kebajikan, bukan bermaksud ia merupakan kesalahan seluruh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Begitu juga dengan PDRM. Hanya kerana segelintir individu yang melanggar integriti dan tidak berdisiplin, tidak bermakna seluruh warga kerja PDRM bersifat sedemikian,” katanya.

Lam Thye turut berharap agar masyarakat tidak memperlekeh dan mencemuh PDRM melampau-lampau.

“Tidak perlu kita jadikan seluruh anggota PDRM sebagai bahan cemuhan hanya kerana kesilapan segelintir anggotanya. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” tegasnya.

Beliau turut menggesa PDRM supaya meningkatkan disiplin anggotanya dari semasa ke semasa untuk memastikan segelintir yang tidak berintegriti ini tidak wujud dalam agensi itu.