Cubaan seludup 1,530kg minyak masak ke Thailand

Sebahagian minyak masak yang dirampas selepas pacuan empat roda yang dinaiki suspek terbabas di Kampung Lanchang, Jeram Perdah, Rantau Panjang pada Ahad.
Sebahagian minyak masak yang dirampas selepas pacuan empat roda yang dinaiki suspek terbabas di Kampung Lanchang, Jeram Perdah, Rantau Panjang pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup minyak masak paket bersubsidi seberat 1,530 kilogram (kg) ke Thailand gagal apabila pacuan empat roda dinaikinya terbabas di Kampung Lanchang, Jeram Perdah, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa melakukan rondaan anggota pasukan khas telah terserempak dengan sebuah Isuzu Trooper yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Siram pada jam 6 pagi.

"Anggota dari pasukan khas telah bertindak mengekori pacuan empat roda itu sehingga ke Kampung Lanchang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, setiba di Kampung Lanchang, kenderaan yang dinaiki suspek telah hilang kawalan lalu terbabas akibat jalan licin.

Beliau berkata, anggota polis kemudian telah bertindak menahan suspek berusia 48 tahun itu untuk siasatan lanjut.

Mohd Nasaruddin berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan kotak-kotak minyak masak yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

Katanya, suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan di IPD Pasir Mas kita mendapati kenderaan itu membawa muatan 1,530 peket minyak masak bersubsidi bernilai RM3,900.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM10,900," katanya.