Kenyataan Takiyuddin berhubung tempoh darurat mengelirukan

 Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai peranan Jemaah Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan tempoh darurat.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan itu mengelirukan dan menimbulkan beberapa persoalan berhubung peranan sebenar jawatankuasa tersebut.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mengenai tempoh pelaksanaan darurat berbanding dalam keadaan biasa yang merupakan peranan Jemaah Menteri.

“Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.

“Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentulah kenyataan Menteri Takiyuddin ini amat mengelirukan dan sebagai seorang ahli jawatankuasa yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, saya ingin memohon Menteri Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Takiyuddin menjelaskan, Jemaah Menteri bertanggungjawab untuk meneruskan peranan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Takiyuddin berkata demikian susulan daripada laporan media yang memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata, hanya Al-Sultan Abdullah mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos depan perlu diteruskan atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu mempersoalkan sama ada fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tarikh penamatan darurat, telah pun diambil alih oleh Jemaah Menteri.

“Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

“Jika itu benar, apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?” soal beliau.

Pada masa sama, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Ahad menyifatkan kenyataan Takiyuddin merupakan satu penghinaan kepada beliau selaku ahli jawatankuasa yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Noh berkata, Takiyuddin seolah-olah menafikan peranan yang telah diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.