X

Kindly register in order to view this article
!

TH tangguh semua urusan operasi haji

TH menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji tahun ini selaras dengan keputusan kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M selaras dengan keputusan muktamad kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia yang akan dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji, atas faktor keselamatan dan kesihatan semua.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, keputusan penangguhan itu dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat pengumuman rasmi yang diperoleh dari kerajaan Arab Saudi, semalam.

Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja. Ini berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, tertakluk kepada kriteria pemilihan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak hantar jemaah haji, akur keputusan Arab Saudi

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

Menurutnya, keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

“TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu.

“TH juga menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu.” katanya.

Beliau berkata, bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun 2021, mereka akan diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada tahun 2022.

"Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, TH menasihati umat Islam di negara ini untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

"TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.

"Salah satu dari syarat-syarat wajib haji adalah berkemampuan atau ‘Istito’ah’ untuk pergi menunaikan haji. Antara ciri-ciri Istito’ah ialah dari segi kesihatan, kemampuan kewangan, keamanan dalam perjalanan, pengangkutan yang selamat dan kebenaran kuota haji," jelas kenyataan itu lagi.

Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!