Syarikat aksesori didenda RM9,000, bekal barang tiruan Gucci

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat aksesori didenda RM9,000 kerana membekalkan 694 unit cermin mata tiruan jenama Gucci, tiga tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat I World Sunglass Sdn Bhd, selepas pengarah syarikat itu, Chiew Ai Lee selaku Orang Kena Saman (OKS) ,45, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Syarikat itu didakwa telah membekal atau menawarkan masing-masing 449 cermin mata hitam dan 245 cermin mata jernih jenama Guccio Gucci S.P.A yang menggunakan perihal dagangan palsu seolah-olah barangan tersebut tertakluk dengan cap dagangan berdaftar Gucci.

Syarikat itu melakukan kesalahan itu di premisnya di Lorong Haji Taib 3 di sini pada 12.30 tengah hari, 11 Mei 2016 mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2)(A) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau seterusnya didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mohd Kamil Khirodin memohon hukuman setimpal mengambil kira pemilik cap dagang dalam industri fesyen dan aksesori kerana ia melibatkan kepentingan hak-hak pengguna di negara ini.

Bagaimanapun, Chiew yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan penguatkuasa telah melakukan pemeriksaan di premis tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan perniagaan menjual cermin mata palsu jenama Gucci. - Bernama

Artikel Berkaitan: