Pengguna obses nak kulit wajah cantik

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Rumah dan kilang yang tidak mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dikesan menjadi sarang pembuatan produk kosmetik kecil-kecilan yang mengandungi racun berjadual di negara ini.

Pegawai Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Aimi Zulkifli berkata, ia berikutan permintaan tinggi daripada pengguna untuk memutihkan kulit dan menghilangkan jerawat serta jeragat pada muka dalam waktu yang singkat.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan secara konsisten akan memberikan impak negatif kepada pengguna selain mengeluarkan kos yang banyak untuk merawat kulit yang telah rosak.

“Berdasarkan kes-kes yang disiasat oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi negeri, kebanyakan pembekal melaksanakan aktiviti ini secara kecil-kecilan di rumah dan kilang-kilang yang tidak mempunyai lesen GMP.

“Selain itu, faktor geografi Malaysia yang bersempadan dengan Thailand dan Indonesia juga menyumbang kepada kemasukan produk-produk terlarang ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas lanjut, Aimi berkata, racun seperti hidrokuinon dan tretinoin adalah bahan-bahan yang sepatutnya digunakan dalam ubat-ubatan untuk merawat penyakit kulit bukan untuk tujuan penjagaan kulit.

“Ini kerana penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, kulit menjadi lebih sensitif malah meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan yang tidak betul juga boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, menggelupas dan meninggalkan parut pada kulit,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan beberapa tip bagaimana pengguna ingin mengetahui sama ada produk kosmetik yang dipakai mengandungi racun berjadual ataupun tidak.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah kulit wajah berubah menjadi cerah dalam masa yang singkat, selain mengalami rasa terbakar pada kulit muka dan kesan kemerahan apabila terkena cahaya matahari,” ujar Aimi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pada tahun 2020, hampir 2,687 jenis produk kosmetik telah dirampas atas kesalahan tidak bernotifikasi dengan KKM dan dikesan mengandungi bahan terlarang dengan nilai rampasan lebih RM3 juta.

Sehubungan itu, tambahnya, bagi menjamin keselamatan pengguna, semua produk kosmetik di Malaysia perlu bernotifikasi dengan KKM sebelum ia dipasarkan.