Tretinoin beri kesan kepada bayi, janin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan tretinoin boleh mengakibatkan kecacatan kepada bayi selain mengalami keguguran janin.

Pakar Kulit, Dr Nurul Aina Aszeme berkata, berdasarkan kajian, bahan berkenaan tidak selamat digunakan oleh ibu mengandung kerana ia boleh menyerap ke dalam aliran darah.

“Tretinoin kalau dipakai sewaktu mengandung memang boleh mengalami keguguran. Ia juga boleh memberikan kesan lain seperti kecacatan pada bayi.

“Jadi, produk pemutih yang mengandungi tretinoin adalah bahaya dan tidak selamat untuk ibu mengandung,” katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas lanjut, Dr Nurul Aina berkata, racun lain seperti merkuri dan hidrokuinon turut memberikan kesan sampingan kepada pengguna.

“Merkuri boleh menyebabkan memori terganggu selain mengalami kerosakan buah pinggang.

“Ia bukan sahaja memberi kesan sampingan kepada si pemakai tetapi orang lain pun boleh terkena sama bila berlaku sentuhan.

“Hidrokuinon pula boleh menyebabkan perubahan ketara pada kulit. Apabila kita pakai dalam jangka masa panjang, ia boleh menjadikan kulit kita putih tapi ada risiko untuk mendapatkan kanser kulit,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlalu obses untuk mendapatkan kulit yang cantik.

Artikel Berkaitan:

“Untuk merawat masalah jerawat sebenarnya mudah sahaja. Kita boleh telan ubat antibiotik ataupun isotretinoin yang mana boleh mengawal keradangan. Yang susah nak elak adalah pigmentasi dan kanser kulit. Dua penyakit ini amat menakutkan.

“Saya jumpa ramai orang yang umurnya sekitar 40 tahun mengalami masalah jeragat sangat tebal.

“Kesan pemakaian produk yang mengandungi bahan beracun memang susah sangat untuk dirawat. Malah, ada yang tak boleh nak rawat langsung,” kata beliau lagi.Dalam pada itu, Dr Nurul Aina turut berkongsikan beberapa tip untuk mendapatkan kulit yang sihat, antaranya minum air secukupnya dan elakkan pengambilan gula secara berlebihan.