Kekang penyeludupan Rohingya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperketatkan pengawasan bagi mengekang penyeludupan manusia khususnya melibatkan etnik Rohingya ke dalam negara.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya tidak pernah melonggarkan pengawasan terutama ketika penularan pandemik Covid-19 ini.

“Sekarang ini, kita (Atipsom) menumpukan di kawasan sektor di mana wujudnya buruh paksa dalam kalangan etnik Rohingya seperti di kawasan perindustrian, pembuatan, perkilangan serta perkhidmatan pembersihan.

“Kita all out tanpa henti dengan memperbanyakkan kerjasama antara agensi penguat kuasa seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata, jenayah penyeludupan manusia ini menyebabkan nama Malaysia tercemar di mata dunia dengan persepsi tiada tindakan serius dalam mengekang perkara terbabit.

Katanya, selain itu, jenayah rentas sempadan ini juga mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara.

“Kesan besar juga berlaku membabitkan hubungan diplomatik antara negara selain peningkatan masalah sosial serta penularan penyakit berjangkit seperti tibi, penyakit kelamin, hepatitis dan sebagainya,” kata beliau.

Justeru, masyarakat disaran untuk terus membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat dalam usaha membendung kegiatan jenayah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Maklumat boleh disalurkan di Hotline Taskforce Op Covid-19 di talian 03-26101519 atau emel kepada d3_opcovid19@rmp.gov.my,” katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian dalam laporan eksklusifnya mendedahkan pelarian etnik Rohingya membayar hingga RM10,000 kepada ejen atau sindiket untuk masuk ke Malaysia secara haram.

Berikutan situasi itu, penyeludupan manusia melibatkan warga Rohingya boleh dikatakan sebagai penyeludupan diri yang direlakan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dilaporkan berkata, bayaran itu dibuat sekurang-kurangnya dua kali iaitu bayaran pendahuluan di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh dan bayaran akhir sebaik tiba di Malaysia.