Berkesankah PKP tangani Covid-19?

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah mengancam Malaysia dan rakyat jelatanya sejak lebih setahun lalu.

Ancamannya masih belum reda dan kini berhadapan pula dengan gelombang lebih bahaya sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 hingga 14 Jun dan dilanjutkan lagi bagi tempoh dua minggu sehingga 28 Jun.

Keputusan melanjutkan PKP 3.0 dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 kes sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam adalah sebanyak 6,871 kes.

Akhbar harian Malaysia Nanban menyatakan bahawa trend pelaksanaan PKP 3.0 didapati agak longgar berbanding yang diimplementasi pada 18 Mac 2020 apabila lebih 100,000 sektor ekonomi dan kerja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut.

Pada awalnya, tindakan kerajaan membenarkan ribuan sektor kerja itu beroperasi seperti biasa mendapat kritikan hebat, namun dijelaskan bahawa penutupan penuh akan mengundang kerugian besar kepada kestabilan ekonomi negara.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa ribuan sektor kerja berkenaan perlu dibenarkan beroperasi supaya golongan peniaga terbabit tidak mengalami kemelesetan perniagaan yang teruk sehingga muflis.

Menurut Malaysia Nanban lagi, keberkesanan PKP 3.0 dan kejayaannya membendung jangkitan Covid-19 bukan sahaja bergantung kepada disiplin rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), malah mengawal pengeoperasian sektor ekonomi serta kerja yang melibatkan ribuan pekerja yang bertarung nyawa ketika pandemik demi memperoleh gaji bulanan bagi menampung kelangsungan hidup.

Akhbar harian itu menyatakan bahawa sekiranya pihak kerajaan membenarkan ribuan sektor kerja beroperasi, apakah motif melaksanakan PKP 3.0 yang hanya menuntut sektor ekonomi yang perlu sahaja dibenarkan.

Wujud juga persepsi dalam kalangan rakyat bahawa pelaksanaan pelbagai fasa PKP – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) telah melambatkan proses pemulihan ekonomi negara daripada Covid-19.

Dalam pada itu, Malaysia Nanban berpendapat impak positif pelaksanaan PKP 3.0 dapat dicapai dengan memperhebatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang kini pada fasa kedua dan akan ke fasa ketiga.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, sebanyak 10 peratus sahaja daripada keseluruhan populasi Malaysia iaitu lebih 32 juta orang disahkan telah mendapat suntikan vaksin.

Kata Malaysia Nanban lagi, bagi menyegerakan program imunisasi kebangsaan itu, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan akan membenarkan kira-kira 1,500 klinik kesihatan dan hospital swasta beroperasi sebagai pusat vaksin tempatan.

Rekod kes positif harian yang kini mencecah empat angka dan jumlah kematian yang turut meningkat sememangnya menuntut lebih banyak pusat vaksin diperlukan di negeri-negeri, antaranya Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak bagi mengurangkan penularan jangkitan.

Malah, proses pemberian suntikan vaksin wajib dipercepatkan terutama di negeri-negeri yang mencatatkan kadar kematian dan jangkitan yang tinggi.

PKP 3.0 harus diuruskan dengan efisien dan tempoh masa diperuntukkan itu perlu dipergunakan sepenuhnya dengan menggandakan pemberian suntikan vaksin kepada rakyat.

Pelaksanaan setiap PKP di negeri berkenaan pasti memberi impak positif dan negatif secara seimbang kepada seluruh rakyat serta kerajaan tetapi perang terhadap Covid-19 masih berterusan.

Program imunisasi kebangsaan adalah satu-satunya solusi muktamad.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor