Estetika bahasa sastera

Kekuatan bahasa sememangnya menimbulkan kesan estetik kepada pembaca.
Kekuatan bahasa sememangnya menimbulkan kesan estetik kepada pembaca.
A
A
A

PELBAGAI aliran, idealisme, falsafah dan mazhab wujud dalam kritikan sastera. Waima dikatakan kritikan sastera di negara kita semakin lesu dan kaku, kepelbagaian perkara sebegini menjadikan dunia kritikan semakin jauh dan tipis untuk diterima khalayak.

Dalam sesebuah genre kesusasteraan, apa yang sebenarnya kita cari? Begitu juga dalam sesebuah kritikan sastera, apakah tujuan sebenar kritikan itu dibuat? Pelbagai jawapan boleh dilontarkan tetapi hakikatnya yang dicari dalam sesebuah karya adalah kebenaran.

Kritikus yang jujur akan mengungkap kebenaran dalam sesebuah karya tanpa berselindung dan tidak dipengaruhi faktor hubungan peribadi, kenalan atau ada kepentingan tersembunyi.

Paling utama yang sering tidak diungkapkan, malahan mungkin jarang-jarang disedari pengkritik bahawa kritikan-kritikan yang berkembang dalam kalangan kabilah sastera memberikan berbagai-bagai alur dalam proses menuju kebenaran melalui pengalaman seni yang indah.

Jika dihalusi, kebenaran dan keindahan inilah sebenarnya destinasi akhir yang dicari dalam sesebuah kembara kepengarangan sastera.

Keindahan dan kebenaran pula pasti lompang tanpa unsur bahasa yang menjadi inti kepada setiap karya. Bahasa persis bahtera yang dikemudi juragan sastera untuk membawa khalayak pembaca sebagai penumpang ke hentian kebenaran.

Keindahan yang disajikan oleh juragan dalam bahtera itu pula akan menentukan keselesaan dan keseronokan para penumpang sepanjang mengikuti pengembaraan tersebut.

Lantaran itulah soal bahasa tidak pernah lepas daripada kritikan. Kerancuan bahasa sering kita temui dalam sesebuah teks sehingga terkadang mengjengkelkan untuk menghabiskan pembacaan sesebuah naskhah karya kerana terlalu banyak kesalahan bahasa.

Penulis yang belum benar-benar menguasai tatabahasa tidak mungkin dapat menerapkan kepelbagaian gaya yang rumit dan memberikan rasa indah kepada pembaca dan menyampaikan makna secara halus.

Artikel Berkaitan:

Tatabahasa

Stilistika yang mengkaji segala kemungkinan gaya kesusasteraan untuk menilai dan mendapat kefahaman sebenar tentang sesebuah teks kesusasteraan juga kurang bermakna jika dipadankan kepada penulisan yang mempunyai tatabahasa tidak sempurna.

Tidak berkesan juga jika mengkritik gaya bahasa yang memperkatakan soal diksi, manipulasi, aliterasi dan sebagainya apabila penguasaan tatabahasa belum cukup sempurna dan belum cukup kuat bagi sesebuah karya.

Kenapa saya mengatakan bahawa sesebuah kritikan sastera tidak bermakna kepada sesebuah karya yang mempunyai kelompangan bahasa yang ketara?

Ada dua perkara yang harus kita ketahui apabila membicarakan tentang aspek bahasa, pertama merujuk kepada rentang kata ‘erti’ dan kedua merujuk kepada ‘makna’.

Sesetengah pembaca akan menanggapi bahawa erti dan makna itu sama sahaja. Sedangkan dalam harkat bahasa, sinonim yang membawa maksud kata sama erti sebenarnya tidaklah mempunyai makna yang benar-benar sama.

Kekuatan dan kehalusan setiap kata adalah berbeza. Inilah yang dikatakan sebagai diksi atau pemilihan kata. Diksi-diksi dalam sesebuah karya akan menentukan keindahan bahasa untuk dihadami pembaca.

Jika dihalusi pula dari aspek semantik, pemilihan kata amat penting kerana makna yang hendak disampaikan bukan sekadar lapisan teks luaran tetapi juga subteks yang membawa maksud lebih mendalam dan meluas.

Sekali gus menyentuh soal keberkaitan perasaan dan fikiran. Kita harus mengakui bahawa sesuatu yang bererti belum tentu bermakna. Makna ialah kosa kata yang luas sehingga memberikan pemahaman dan penerimaan yang berbeza kepada khalayak.

Sebagai contoh jika dahulu, kosa kata ‘dedak’ merujuk kepada makanan untuk haiwan peliharaan seperti ayam dan itik. Namun mutakhir ini, dalam kemelut politik negara kata ‘dedak’ ini mula digunakan dan diberikan erti dalam konteks yang berbeza merujuk kepada suapan dan pemberian untuk mendapat sokongan politik.

Semantik

Ilmu semantik itu sendiri juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu semantik dalam ilmu linguistik dan semantik dalam ilmu logik. Logikal semantik bukan sekadar menyentuh tentang teknik-teknik penulisan dan kepengarangan tetapi turut melibatkan kedalaman bahasa itu sendiri.

Tanpa menggunakan ilmu ini, seseorang pembaca hanya akan mampu membaca secara luaran tanpa benar-benar mampu memahami makna secara mendalam.

Begitu juga sebagai pengarang, tanpa penelitian terhadap logik semantik hanya menjadikan karya kelihatan lugu dan dangkal kepada pembaca yang benar-benar serius.

Ketidakpekaan inilah yang akan menimbulkan kritikan bahawa penulis sekadar bermain dengan kata-kata atau dalam makna sebenarnya bermain dengan bahasa untuk menggula-gulakan pembaca.

Bahasa puitis dan kreatif yang bersifat retorik bukanlah semata-mata bersifat main-main dan berpura-pura indah. Manipulasi bahasa tidak berlaku untuk tujuan berlagak indah dan terlihat jargoan sebaliknya memperkuat penyampaian makna karya.

Kunci dalam gaya bahasa sastera bukanlah dari aspek perbezaan gaya bahasa ilmu, misalnya beza yang ditimbulkan oleh pemilihan kata, ayat atau ungkapan yang mengandungi erti atau makna konotasi dan denotasi.

Keindahan bahasa yang sebenar ialah pemilihan antara kedua-duanya. Di mana seharusnya persepsi dan imaginasi dilepaskan bebas dan di mana sewajarnya kesamaran harus dibatasi.

Kekuatan bahasa sememangnya menimbulkan kesan estetik kepada pembaca. Untuk mencapai tahap sebegitu, penelitian tentang selok-belok erti dan makna amatlah penting kerana tidak semua erti dan makna terbit daripada ujaran-ujaran bersifat denotatif sahaja tetapi juga konotatif.

Malah, pemaknaan bersifat konotatiflah yang menghidupkan gaya bahasa sastera kerana yang dilukis dan dideskripsi penulis sastera bukan semata-mata penerangan penceritaan tetapi mencakupi nilai-nilai emosi perwatakan dan deskripsi fizikal manusia dan alam.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)