Sambung darurat jalan terbaik

No Image Caption
A
A
A

PERTEMUAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai perwakilan dalam Dewan Rakyat pada 9 hingga 11 Jun 2021 lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Yang di-Pertuan Agong juga dijangka mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini.

Lazimnya, perjumpaan sebegitu hanya membabitkan perubahan besar dalam kepimpinan negara kerana dalam kebanyakan hal lain, Yang di-Pertuan Agong hanya bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet.

Namun pada hemat penulis, Yang di-Pertuan Agong menjemput pemimpin politik dan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu adalah bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai keadaan negara serta pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan mengenai Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang.

Namun, satu blok kecil pembangkang terdiri daripada Pejuang dan Warisan menyokong cadangan Tun Dr Maha-thir Mohamad supaya Yang di-Pertuan Agong menubuhkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sudah tentu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mendapat pelbagai laporan termasuk kecenderungan besar di media sosial yang mempertikai kejayaan darurat.

Bagaimanapun, keputusan yang akan dibuat nanti pasti atas pertimbangan budi bicara setelah mengambil kira pandangan semua pihak. Ia haruslah soal apakah yang memberi kebaikan lebih besar kepada rakyat dan negara, bukan aliran pemikiran mana yang popular.

Artikel Berkaitan:

Kesimpulan daripada kenyataan-kenyataan media para pemimpin parti politik yang bertemu Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian besar ahli Parlimen masih menyokong darurat diteruskan.

Walaupun Presiden UMNO yang mewakili 39 ahli Parlimen mahu darurat ditamatkan, namun kita tahu mereka yang berada dalam struktur kerajaan hari ini tidak cenderung ke arah hal tersebut.

Dari segi Covid-19, jumlah kes yang mencecah ribuan setiap hari menyukarkan sebarang usaha menamatkan darurat. Proklamasi Darurat bertujuan membolehkan kerajaan membuat ordinan yang dengan segera dikuatkuasakan bagi membantu usaha melawan pandemik.

Ia termasuklah kebenaran untuk kerajaan mengambil alih fasiliti swasta dan tentera bagi tujuan pengawalan pandemik, perbelanjaan segera dalam pembelian vaksin serta urusan mengawal penularan dan mengenakan peraturan lebih ketat.

Ia memerlukan keputusan segera yang tidak mungkin diperoleh melalui Parlimen yang akan digunakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Dalam sidang terakhir Dewan Rakyat, hampir keseluruhan akta termasuk Belanjawan 2021 yang dibentangkan berhadapan ancaman tidak diluluskan kerana majoriti tipis kerajaan.

Dalam keadaan biasa, kita mengalu-alukan ia sebahagian demokrasi berparlimen yang menyuburkan proses semak dan imbang bagi kepentingan rakyat. Namun, dalam keadaan pandemik, kita tidak boleh meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada nyawa rakyat.

Benar, darurat belum berjaya mengurangkan kes Covid-19 tetapi ia berjaya memperlahankan penularan wabak apabila kerajaan lebih banyak masa fokus kepada usaha mengawal pandemik, mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat.

Berdasarkan pelan imunisasi kebangsaan sedia ada, kita akan mencapai 80 peratus vaksinasi pada penghujung tahun yang membolehkan kita membuka semula aktiviti ekonomi dan sosial termasuk politik.

Jadi, wajar darurat disambung bagi membolehkan usaha mengekang penularan Covid-19. Rakyat sudah banyak berkorban. Tiba masanya ahli politik pula berkorban. Apa salahnya semua ahli politik bersabar sedikit lagi.

Fokus kepada usaha mengawal pandemik, mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)