Remaja dan kesihatan psikologi

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

TRANSISI fasa kanak-kanak ke alam dewasa adalah fasa paling kritikal dalam proses kematangan kognitif, pengurusan emosi dan kesihatan mental untuk golongan remaja.

Mereka mudah tercenderung untuk keliru dan rasa tersisih apabila tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam jaringan sosial.

Ia menjadi satu kelaziman untuk remaja bercerita dengan ahli keluarga dan rakan sebaya yang rapat apabila berdepan masalah. Bagaimanapun, mereka sering disalahertikan, dipandang remeh, dianggap mengada-ngada atau mereka cerita.

Remaja akan bertindak menyembunyikan kemurungan dan kegelisahan kerana berasa tiada manfaat meluahkan perasaan. Keakraban sesuatu perhubungan melibatkan emosi yang mendalam antara remaja dan ahli keluarga boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang apabila timbulnya konflik.

Kejadian itu sering berlaku apabila remaja cuba menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan budaya dan nilai kehidupan keluarga.

Faktor lain yang mungkin terhalangnya remaja daripada meluahkan perasaan adalah masa terhad untuk berkomunikasi sesama ahli keluarga, kurangnya kepercayaan, hubungan ibu bapa kurang harmoni, trauma atas kejadian lampau seperti keganasan rumah tangga, komitmen kerjaya serta terlalu bimbang membebankan keluarga.

Berdasarkan pemerhatian klinikal, kebanyakan remaja yang hadir ke klinik telah mula mencederakan diri (melukakan tangan dan kaki serta anggota badan untuk menyembunyikan perbuatan mencederakan diri) bagi melepaskan rasa tekanan perasaan akibat memendam perasaan.

Kejadian yang berulang itu menyebabkan remaja terperangkap dalam daya tindak negatif dan ia boleh menyebabkan terjadinya keadaan lebih parah seperti berniat atau bertindak cuba untuk mengakhiri kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Adalah dicadangkan agar ibu bapa memantau sekiranya terdapat tanda-tanda awal yang diperhatikan dalam kalangan anak remaja mereka yang berlaku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berikut:

a) Tidak berminat menyertai pengajian atas talian tanpa sebab dan tidak mahu melakukan kerja sekolah. Prestasi sekolah merosot dengan teruk.

b) Kesan luka di bahagian atas atau berdekatan dengan tapak tangan dan calar serta kesan torehan di bahagian bawah tangan atau kesan luka yang ketara di jari dan bahagian tepi kuku tangan seperti kesan kulit dikoyakkan atau kesan gigitan.

c) Anak selalu minta plaster dan ubat cecair penyembuh luka.

d) Pisau belit atau bahan tajam (contoh pencungkil gigi) terjumpa di dalam bilik anak.

e) Gemar menyendiri di dalam bilik.

f) Berlebihan masa dengan gajet, mengelak bercakap dengan ahli keluarga (sering marah dan tunjuk perasaan berlebihan apabila penggunaan gajet dikawal).

g) Terlalu sensitif atau mudah menangis.

h) Gemar tidur lewat (susah tidur malam atau terlebih tidur).

i) Selera makan berubah (terlalu kurang atau terlebih makan).

j) Mudah cemas/panik (menggeletar, rasa seperti hendak pengsan) apabila diminta bercakap atau memberi respons dan tidak dapat bercakap dengan guru dan rakan-rakan.

k) Menutupi keseluruhan bahagian tangan dan tapak kaki di rumah (memakai baju lengan panjang – bukan disebabkan malu tetapi seperti ingin menyembunyikan sesuatu).

Sekiranya terdapat tanda lain di luar kebiasaan remaja berkenaan, segeralah berjumpa pakar psikologi dan psikiatri untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Dalam penilaian sesuatu keadaan, intensiti sesuatu permasalahan itu berbeza dan ia memerlukan bantuan pakar secara menyeluruh.

Doktor psikiatri dan psikologis melihat keperluan pesakit yang mungkin memerlukan rawatan fisiologi, penilaian diagnostik, pemerhatian klinikal serta intervensi atau psikoterapi. Perkhidmatan itu bertujuan merawat dan mengembalikan kesejahteraan hidup remaja serta keluarga.

Kerjasama semua jaringan keluarga dan sosial remaja termasuklah ahli kejiranan perlu wujud bagi membantu remaja mendapatkan rawatan/intervensi yang khusus.

Justeru, keluarga haruslah melapangkan fikiran dan bersatu hati bagi tujuan yang sama. Bagi remaja yang mengikuti perkembangan teknologi, pembelajaran atas talian boleh diisi dengan aktiviti bermanfaat, mengeksplorasi platform terkini, meningkatkan kesedaran kesihatan psikologi dan berkomunikasi bersama rakan terutama dalam tempoh PKP.

* Nur Haidzat Abd Wahid ialah Psikologis Klinikal, Klinik Pakar Dr Yeoh & Dr Hazli Mental Health Specialist