Bangkit lindungi warga Palestin

No Image Caption
A
A
A

PADA 9 Jun 2021, Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) telah mengutus surat kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi di Geneva, Switzerland untuk mendesak Presiden Majlis Hak Asasi Manusia, Nazhat Shameem Khan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas antarabangsa bagi menyelesaikan pelanggaran hak asasi di wilayah Palestin termasuklah Jurusalem Timur.

PPMM juga mendesak Nazhat Shameem membuat permintaan untuk menubuhkan misi pasukan pengaman antarabangsa dalam kalangan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi warga Palestin dan bekerjasama melaksanakan siasatan telus dengan segera.

PPMM mengharapkan Nazhat Shameem dapat segera mengumumkan pembentukan suruhanjaya siasatan tersebut bagi melaksanakan tugas berkenaan. Desakan itu adalah hasil perbincangan sebahagian ahli PPMM yang prihatin dengan situasi di Palestin ketika ini.

Pada 27 Mei lalu dalam Mesyuarat Khas kali ke-30 Majlis Hak Asasi Manusia terhadap masalah hak asasi yang serius di Wilayah Palestin diduduki penjajah zionis Israel termasuk Jurusalem Timur melalui Resolusi No A/HRC/RES/S-30/1 telah meluluskan antara lain:

a) Untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas antarabangsa bagi menyiasat semua dakwaan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia bermula 13 April 2021 termasuklah sebarang diskriminasi secara sistematik tekanan, kekejaman terhadap warga Palestin, etnik, ras dan identiti agama.

b) Mendesak semua pihak berkaitan memberi kerjasama dengan suruhanjaya siasatan tersebut dan memberi akses sewajarnya.

c) Mendesak semua negara mengelak daripada menyalurkan senjata agar tidak mendatangkan sebarang risiko senjata itu boleh digunakan bagi perlanggaran hak asasi manusia.

PPMM sangat berharap kerajaan Malaysia dapat mengambil tindakan proaktif secara berterusan mendesak PBB melaksanakan resolusi yang disebutkan itu dan tidak meninggalkannya sebagai sebuah dekorasi sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kezaliman rejim Zionis Israel masih berterusan termasuk pengusiran terancang terhadap warga Palestin. Hal itu sangat jelas kerana sekiranya warga Baitulmaqdis keluar dari zon yang ditetapkan walaupun sekadar satu kilometer sahaja, segala hak kewarganegaraan mereka akan dibatalkan.

HalangLebih menyedihkan, Menteri Palestin sendiri dihalang melawat rakyat Palestin bagi memastikan kebajikan mereka terbela, itu belum lagi berkaitan halangan melaksanakan ibadat di Masjid al-Aqsa dan sebagainya. Dinding pemisah yang dibina rejim Israel mengehadkan perjalanan warga Palestin di dalam negara mereka sendiri.

Banyak lagi keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia dilakukan rejim Zionis Israel. Sudah ramai warga Palestin syahid dan terkorban. Tidak terkira bilangan warga Palestin yang cedera dan cacat kerana tindakan kejam mereka. Banyak rumah warga Palestin musnah akibat ledakan bom, malah fasiliti awam juga tidak dapat lari daripada menjadi sasaran pengeboman.

Kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa perlu bangkit mempertahankan saudara kita di Palestin. Kesedaran masyarakat antarabangsa sudah mula dirasai apabila media sosial tidak dapat dikongkong oleh negara haram Israel. Isu Palestin bukan hanya isu keagamaan, ia juga isu kemanusiaan sejagat.

Kita akan mendapat banyak sokongan antarabangsa jika isu kemanusiaan ini disebar luaskan berbanding hanya menumpukan isu keagamaan. Marilah kita bersama-sama berusaha agar penderitaan warga Palestin segera berakhir dan berdoa agar ALLAH SWT merahmati perjuangan kita membantu warga Palestin serta bertawakal kepada-Nya.

Saya masih teringat sayu bait-bait tulisan di kuburan di Palestin yang saya baca ketika menziarahi Baitulmaqdis. Ia tertulis 'Bukanlah hari raya itu bagi mereka yang memakai pakaian baharu tetapi hari raya (sebenar) adalah bagi mereka yang mati syahid’.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.