X

Kindly register in order to view this article
!

Pemangkin pembangunan industri berimpak tinggi

PENGERUSI JAWATANKUASA PELABURAN MARA, DATO’ JAMELAH JAMALUDDIN
A
A

Usaha MARA dalam memperkasa pelaburan strategik berteraskan keusahawanan, pendidikan dan perkhidmatan ini disokong dengan penubuhan MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp.) yang ditubuhkan pada 2016 berperanan bagi menyusun strategi dan memangkin aktiviti pelaburan untuk menyokong mandat dalam membangunkan agenda ekonomi Bumiputera.

Di samping itu MARA Corp. juga bertindak sebagai syarikat induk yang mengawal selia dan meningkatkan keberkesanan tadbir urus syarikat subsidiari di bawah MARA. Ikuti temu bual bersama PENGERUSI JAWATANKUASA PELABURAN MARA, DATO’ JAMELAH JAMALUDDIN.

SINAR HARIAN: Bagaimana MARA Corp. mengendalikan anak-anak syarikatnya tanpa mengeluarkan perbelanjaan kos yang besar?

JAMELAH: Kita memberi keutamaan untuk merangka program yang bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti pelaburan di peringkat bottom-line sahaja, tetapi juga akan mencetus penyertaan Bumiputera dalam industri tertentu selaras dengan pelan pembangunan modal insan MARA.Melalui strategi yang telah disusun semula, MARA Corp. akan menjadi pemangkin kepada pembangunan program-program industri berimpak tinggi yang akan dijalankan secara usaha sama dengan rakan-rakan industri yang lain di samping berupaya mencipta lebih ramai usahawan peneraju global serta meningkatkan pemilikan ekuiti kaum Bumiputera dalam sektor korporat.

Dalam masa yang sama, sejak penubuhannya, MARA Corp. telah melakukan beberapa tindakan pemulihan yang signifikan terutamanya berkaitan model perniagaan, tadbir urus, kecekapan dan keberkesanan perniagaan dengan merangka usaha strategik melibatkan syarikat subsidiarinya.

Seterusnya pelan peralihan dan beberapa inisiatif utama bagi memaksimumkan prestasi portfolio syarikat juga telah dilaksanakan membabitkan pelaporan prestasi kewangan dan operasi syarikat.

MARA Corp. juga terlibat dengan kerja-kerja menyelaras dan menyeragamkan penyata kewangan beraudit tahunan MARA Corp. melalui pelantikan juruaudit luar yang sama untuk kesemua syarikat subsidiari di samping melantik firma audit terkemuka di dalam negara untuk memastikan audit tahunan dilaksanakan itu mematuhi piawaian pengauditan terkini.

Hasil penemuan meliputi aspek kewangan iaitu pelaporan kewangan, aliran tunai dan kesolvenan syarikat, operasi perniagaan, perundangan dan tadbir urus dan modal insan (kompetensi staf dan pengurusan) telah dibentangkan kepada Majlis MARA pada tahun 2018 dan pelan peralihan dan pemulihan telah dibentangkan kepada semua syarikat subsidiari berkaitan bagi memastikan implikasi kewangan negatif kepada syarikat subsidiari, MARA Corp. dan juga MARA dapat dikurangkan sebanyak mungkin.

SINAR HARIAN: MARA Corp. sering diasak dengan isu pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Subsidiari di bawahnya yang dituduh tidak mengikut prosedur. Boleh Dato’ beri ulasan ringkas mengenai isu tersebut?

JAMELAH: Memang wujud persepsi yang mendakwa wujud salah laku dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat MARA, saya ingin menegaskan bahawa proses lantikan yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang serta kuasa-kuasa yang diperuntukkan mengikut akta berkaitan. Sebelum mana-mana individu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat subsidiari MARA, kami telah menyemak terlebih dahulu latar belakang individu dari segi kepakaran dan pengalaman industri yang dimiliki termasuk tapisan di peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tidak muflis.

Kita ingin memastikan setiap Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik adalah seorang yang mempunyai tahap integriti yang tinggi dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab fidusiari bagi memastikan anak syarikat MARA terhindar daripada elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi lantikan Ahli Pengurusan MARA Corp. sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat subsidiarinya, ia adalah sebahagian daripada strategi untuk memastikan kelancaran proses transformasi dan rasionalisasi serta memastikan hala tuju setiap syarikat subsidiarinya adalah bertepatan dengan kehendak aspirasi kerajaan dan kementerian serta MARA.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa Ahli Pengurusan MARA Corp. yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di anak syarikatnya tidak menerima sebarang elaun bulanan seperti kebiasaan yang diterima oleh lantikan yang lain. Selain daripada Ahli Pengurusan MARA Corp., turut dilantik adalah Ahli Lembaga Pengarah bebas MARA Corp. yang turut memainkan peranan yang sama.

SINAR HARIAN: Timbul isu mengenai komposisi dalam Lembaga Pengarah anak syarikat MARA Corp. berkaitan pelantikan Pengarah Bebas (Independent Director) dan Pengarah Bukan Bebas (Non Independent Director) yang dikatakan tidak menepati The Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG).

JAMELAH: Pertamanya perlu kita fahami bahawa MCCG yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) adalah dikhususkan untuk syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, manakala syarikat persendirian atau syarikat awam hanya digalakkan menerima pakai MCCG. Ingin saya jelaskan di sini, ketika ini tiada anak syarikat MARA atau MARA Corp. yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

Walaupun begitu, anak syarikat MARA dan MARA Corp. sentiasa menjadikan MCCG sebagai sumber rujukan utama untuk meningkatkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan kelestarian syarikat. Bukan itu sahaja, MARA Corp. turut merujuk dan mengguna pakai The Green Book - Structuring A High-Performance Board yang diterbitkan oleh Khazanah. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa MARA Corp. sedang merasionalisasi anak-anak syarikatnya bagi meningkatkan daya saing (competitiveness) dan mengekalkan daya tahan (sustainability) khususnya dalam mendepani cabaran semasa impak daripada pandemik COVID-19.

Bagi menjayakan proses rasionalisasi tersebut, Lembaga Pengarah MARA Corp. telah bersetuju bahawa semua Pengarah Bebas dalam MARA Corp. dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas dalam anak-anak syarikat. Mereka ini adalah profesional, mempunyai kepakaran serta pengalaman industri yang dapat membantu anak syarikat dan sebagai checker and balancer dalam Lembaga Pengarah anak syarikat.

Malah, penstrukturan dan pengukuhan Lembaga Pengarah syarikat subsidiari adalah merupakan strategi korporat yang sememangnya dipraktikkan oleh mana-mana syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan agar sebarang pelan transformasi yang dirancang oleh syarikat induk dapat dilaksanakan oleh syarikat subsidiari dengan lebih berkesan dan selari dengan pelan transformasi tersebut.

Bukan itu sahaja, sebarang cadangan dan keputusan di peringkat Lembaga Pengarah MARA Corp. dan anak syarikatnya yang melibatkan perkara terpelihara pemegang saham (shareholder’s reserved matters), ia akan diangkat ke peringkat lebih tinggi iaitu Jawatankuasa Pelaburan MARA, Majlis MARA, Menteri bertanggungjawab dan Menteri Kewangan yang mana berkaitan.

Ini bermakna dari aspek tadbir urus adalah sentiasa diberi keutamaan dan tidak wujud keputusan yang didominasi oleh seseorang atau kumpulan tertentu. Sememangnya wujud praktis semak dan imbang dalam segala keputusan.

Saya juga beri jaminan bahawa semua Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik telah menepati syarat dan kriteria yang kita kehendaki, bersih dari aspek tapisan keutuhan SPRM seperti yang saya terangkan tadi dan tidak berhadapan dengan masalah muflis. Cuma apabila segelintir individu yang membuat andaian berdasarkan sumber tidak sahih, ini memberi gambaran buruk sedangkan kita sentiasa berusaha untuk memastikan MARA dan anak syarikatnya menjunjung amanah dan integriti dalam pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

SINAR HARIAN: Apakah antara perancangan MARA Corp. yang terdekat?

JAMELAH: MARA Corp. akan melaksanakan pelan transformasi dalam masa terdekat yang melibatkan pelbagai aspek terutama dari segi kecekapan pengurusan kos. Pelan ini akan memastikan keberkesanan MARA Corp. serta anak-anak syarikatnya merangkumi tadbir urus yang baik termasuk polisi kumpulan, laporan yang adil, benar dan telus.

Pengamalan percaturan dan kebersamaan dalam kumpulan akan diterapkan bagi memastikan kecekapan organisasi melalui program yang akan dilaksanakan. Di samping itu, MARA Corp. juga akan memberi penekanan kepada suntikan kewangan kepada projek berimpak tinggi bagi merancakkan perniagaannya serta anak-anak syarikatnya bagi memaksimakan pulangan kepada pelaburan yang dilaksanakan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!