X

Kindly register in order to view this article
!

Strategi MARA lonjak sosioekonomi Bumiputera

KETUA PENGARAH MARA, DATO' AZHAR ABDUL MANAF
A
A

Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah agensi yang telah diberikan tanggungjawab bagi membangunkan sosioekonomi Bumiputera sejak 55 tahun lalu. Bermula pada 1 Mc 1966, MARA sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memperkasakan agenda Bumiputera dengan mencorakkan pelbagai transformasi dalam keusahawanan serta pendidikan Bumiputera.

MARA telah menggariskan strategi dan program untuk memperhebat sosioekonomi Bumiputera. Malahan Pelan Strategik MARA (PSM) 2021 – 2025 yang telah dilancarkan merupakan satu dimensi baharu teras, strategi dan outcome program dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara.

Bersama KETUA PENGARAH MARA, DATO' AZHAR ABDUL MANAF membicarakan tentang prestasi dan kejayaan yang dicapai oleh MARA.

SINAR HARIAN: MARA begitu sinonim dalam bidang pendidikan yang telah melahirkan ramai cerdik pandai, bagaimanakah pencapaian sektor ini dan apakah fokus seterusnya?

AZHAR: Pada tahun ini, program pendidikan MARA terus kita gerakkan bagi melahirkan modal insan negara. Melalui pendidikan TVET MARA, seramai 47,572 orang pelajar sedang dilatih di 270 institusi di pelbagai peringkat dari sijil hinggalah ke peringkat lanjutan. Manakala seramai 22,501 orang pelajar sedang mengikuti program profesional dan sains sosial di 31 buah Institusi pendidikan MARA. Di MRSM pula, 53 buah MRSM kini memberi peluang kepada 35,467 orang pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5. Manakala seramai 46,862 pelajar sedang ditaja di bawah program pinjaman pelajaran dalam dan luar negara. Melalui program di bawah Sektor Pendidikan MARA ini, seramai lebih 2 juta Bumiputera pernah mendapat manfaat secara langsung dan akan terus bertambah.

Kini, fokus diberi untuk melatih lebih ramai Bumiputera dalam bidang berteknologi tinggi berteraskan Revolusi Industri 4.0 dan bidang-bidang baharu secara komprehensif sejajar dengan peredaran masa. Bagi mencapai hasrat tersebut, MARA telah menetapkan strategi iaitu (1) Meningkatkan penguasaan

pelajar dalam bidang STEM, (2) Memperkasa TVET MARA sebagai sumber utama tenaga kerja negara (3) Memperluas penglibatan Bumiputera dalam bidang berimpak tinggi dan (4) Meneraju penajaan pendidikan Bumiputera secara inklusif.

SINAR HARIAN: Bagaimana pula dalam membangunkan usahawan Bumiputera Dato’?

AZHAR: Dari aspek keusahawanan pula, MARA merupakan agensi utama yang mempunyai ekosistem lengkap dalam pembangunan usahawan, pembangunan perniagaan dan menyediakan fasiliti sokongan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka. Bermula tahun 1966

hingga kini, MARA telah menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan kepada 256,777 usahawan dan seramai 836,347 usahawan telah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Keusahawanan MARA. Manakala sebanyak 7,271 kemudahan sewaan lot premis MARA telah ditawarkan kepada usahawan Bumiputera.

Untuk tempoh lima tahun akan datang, kami menyasarkan untuk membangunkan komuniti usahawan yang dinamik dengan menyediakan program yang lebih bersifat holistik dengan mewujudkan suasana pembangunan program keusahawanan yang terbaik melalui pelan tindakan yang telah dirancang. Kami juga turut menyasarkan 15,000 usahawan baharu dilahirkan manakala 50,000 usahawan sedia ada akan dibantu untuk lebih berdaya saing dan kekal dalam perniagaan. Walaupun, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan adalah terhad iaitu hanya sebanyak RM205.3 juta bagi tahun ini, usaha

yang dilaksanakan adalah bersasar kepada lima industri yang telah dikenal pasti secara lebih berfokus. Programprogram khas MARA seperti Program Pembangunan Usahawan profesional (PROSPEC), Hit Barber, MARA In Fashion (MIF) diperluaskan bagi meningkatkan penyertaan golongan Profesional dan belia dalam bidang keusahawanan.

SINAR HARIAN: Kita semua sedia maklum, sejak tahun lalu negara dilanda pandemik COVID-19, boleh Dato’ terangkan apakah inisiatif MARA dalam membantu usahawan dan pelajar Bumiputera?

AZHAR: Mengenai isu semasa terutamanya pandemik Covid-19, dalam menyusun program keusahawanan dan pendidikan MARA kini, kita turut mengambil kira apakah keperluan yang perlu diberi keutamaan. Justeru pelbagai inisiatif diwujudkan untuk usahawan terutamanya untuk jangka

masa pendek bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Inisiatif ini diteruskan apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Di antara yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan IPTS, penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan serta diskaun 30% ke atas sewaan premis perniagaan. Keseluruhan inisiatif ini akan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM168.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 7,784 usahawan. MARA turut menyediakan latihan dan program keusahawanan secara atas talian bagi mendayakan perniagaan yang menyasarkan lebih kurang 600,000 peserta.

Skim-skim pembiayaan perniagaan juga akan diteruskan bagi menampung modal sokongan usahawan. Manakala bagi pendidikan pula kita telah memperuntukkan sebanyak RM44.93 juta yang akan memberi manfaat kepada 153,515 pelajar. Inisiatif ini melibatkan penangguhan bayaran wang caruman MRSM bagi pelajar tingkatan 1 hingga 5 sepanjang tempoh PDPR, diskaun khas sebanyak 50% kepada pelajar UniKL serta pembatalan yuran orientasi kepada pelajar baharu, Skim Pinjaman Komputer dengan kadar bayaran balik serendah RM40 sebulan dan moratorium pembayaran pinjaman pelajaran bersasar. Program MARA Prihatin: Peace Of Mind 3.0 akan diteruskan bagi penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dengan kadar bayaran balik serendah RM100 sebulan untuk tempoh setahun.

SINAR HARIAN: Apa usaha MARA untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan MARA dalam norma baharu ini?

AZHAR: Kita sememangnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian sejak dahulu lagi bukan sekadar semasa pandemik ini sahaja. Dalam perancangan MARA, kita sedang meningkatkan pendigitalan perkhidmatan bagi memudah dan mempercepatkan urusan serta mengurangkan keperluan rakyat untuk berkunjung ke kaunter sesuai dengan norma baharu yang sedang diadaptasi. Pembangunan aplikasi Sistem Enterprise Resource Planning (ERP) dan Total Campus Management System (TCMS) akan menyokong pertambahan fungsi dan operasi MARA secara digital.

Kami juga turut melaksanakan latihan untuk semua kakitangan termasuk kepada semua guruguru secara atas talian. Tidak hanya menambah baik pengoperasian MARA secara digital, semua proses permohonan pembiayaan perniagaan, permohonan latihan keusahawanan serta permohonan penyewaan premis juga telah dilaksanakan secara atas talian menggunakan sistem MyUsahawan dan MyPremis. Manakala sistem PdPR juga diaktifkan bagi memudahkan pelajar meneruskan pembelajaran sepanjang tempoh PKP sama ada bagi pelajar MRSM mahupun pelajar di IPMA.

SINAR HARIAN: Ada persepsi yang menyatakan penglibatan orang politik tertentu dalam menentukan hala tuju MARA, apa komen Dato’ bagi perkara ini?

AZHAR: Program yang diwujudkan oleh MARA pada masa kini dan akan datang adalah berpaksikan kepada hala tuju yang telah digariskan oleh negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama di samping dasar-dasar lain yang telah diwujudkan oleh kerajaan dan kementerian. Dalam merencana strategi pelan jangka pendek dan sederhana juga, MARA perlu memastikan ia adalah selaras dengan peruntukan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan serta mencapai KPI yang telah disasarkan. Program MARA telah disusun rapi berdasarkan kepada aspirasi pembangunan negara dan keperluan rakyat.

Ia adalah satu perancangan bersifat holistik dan menyeluruh serta mengambil kira pelbagai faktor, bukanlah hanya berdasarkan desakan kumpulan tertentu seperti yang didakwa.Bahkan dalam barisan kepimpinan Ahli Majlis MARA, ia mewakili pelbagai latar belakang dan profesion. Selain individu politik, terdapat wakil kementerian dan juga profesional serta ahli akademik dan usahawan. Pengalaman dari latar yang pelbagai ini banyak memberi input positif untuk MARA menggerakkan program berimpak tinggi bagi membangunkan Bumiputera.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!