Terpedaya tawaran kerja, warga Taiwan jadi keldai dadah

Zulkifli menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam kasut milik salah seorang suspek.
Zulkifli menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam kasut milik salah seorang suspek.
A
A
A

SEPANG - Jika sebelum ini sindiket pengedaran dadah menggunakan warga tempatan untuk menyeludup dadah ke Taiwan, namun hari ini, modus operandi itu telah berubah.

Menyedari taktik dapat dihidu polis, sindiket dadah tempatan mula 'berjinak-jinak' merekrut warga Taiwan untuk menyeludup dadah itu ke negara terbabit.

Sindiket ini akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan tawaran kerja dan gaji sehingga RM10,000 selain pakej melancong.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, tanpa menyedari penipuan sindiket terbabit, mangsa yang terpedaya dengan tawaran menerusi media sosial Facebook dan Wechat itu akhirnya terjebak sebagai 'keldai' dadah.

"Dua lelaki warga Taiwan berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA dalam serbuan berasingan di KLIA dan hotel bajet di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, pada 15 Februari lalu.

"Tangkapan pertama di KLIA dibuat kira-kira jam 7.05 pagi dan pemeriksaan menemui paket dadah disyaki syabu dianggar seberat 1.01 kilogram bernilai RM60,000 yang disembunyikan di dalam kasut.

"Manakala tangkapan kedua pula di mana suspek ini dipercayai merupakan rakan kepada suspek pertama," katanya kepada Sinar Harian.

Susulan kejayaan hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Jenayah (CIB) Taiwan, Zulkifli mendedahkan, warga Taiwan ini tiba di Malaysia pada 12 Februari setelah dijanjikan tawaran kerja. Namun, kedua-dua lelaki terbabit telah dibawa ke sebuah hotel bajet sebelum dipaksa untuk menyeludup dadah ke negara mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sindiket telah membayar sejumlah wang pendahuluan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebagai upah sebelum membayar bakinya setelah 'keldai dadah' ini tiba di Taiwan.

"Siasatan masih dijalankan dan kedua-dua suspek ini kini direman sehingga 28 Februari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pekerjaan yang meragukan di laman sosial. Sekiranya meragui tawaran tersebut, salurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.