Hoe Yean pecahkan rekod 23 tahun

Hoe Yean
Hoe Yean
A
A
A

WALAUPUN menjadi satu-satunya peserta acara 200 meter (m) kuak lentang di Terbuka Malaysia ke-63 hari ini, ia tidak melemahkan semangat Khiew Hoe Yean untuk memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun.

Hoe Yean, 19, yang menjadi satu-satunya peserta acara itu yang diadakan secara tertutup akibat Covid-19 itu, mencatatkan masa dua minit dan 0.80 saat (s), bagi memadamkan rekod lama dipegang Alex Lim Keng Liat 2:00.94s yang dicatatkannya ketika memenangi pingat perak di Sukan Asia Bangkok 1998.

Selain itu, catatan masa itu juga membolehkan perenang itu mencatakan masa melepasi Masa Pemilihan Olimpik (OST) 2:01:03s.

“Saya rasa amat gembira sehingga tidak tahu nak kata apa. Saya gembira kerana saya telah mencatatkan masa kelayakan B dalam satu lagi acara dan memecahkan rekod kebangsaan,” kata perenang dari Kuala Lumpur kepada Bernama ketika dihubungi.

“Saya tidak rasakan sebarang kelainan untuk berenang sendirian kerana ia acara kuak lentang. Saya tidak dapat lihat apa yang berlaku selain langit ataupun bumbung, jadi saya rasa tiada masalah untuk berenang sendirian. Tidak ada perbezaan jika anda tahu apa yang anda perlu lakukan,” katanya.

Esok, Hoe Yean akan meneruskan penyertaannya dalam acara 200m dan 800m gaya bebas.

Semalam, Hoe Yean yang kejohanan kali terakhirnya menyaksikan beliau menang lapan pingat emas di Kejohanan Renang Jemputan Malaysia pada Mac tahun lepas, mengalahkan Welson Sim dan memenangi acara 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:51.56s, satu lagi catatan melepasi OST.

Hanya perenang yang telah mencapai Masa Kelayakan Olimpik (OQT) dalam acara masing-masing sebelum 27 Jun, mengesahkan tempat mereka ke Olimpik. Bagi 200m kuak lentang, OQT bagi acara tersebut ialah 1:57.50s.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini Welson dan Hoe Yean telah melepasi OST bagi acara 400m gaya bebas, manakala Phee Jinq En melepasi masa bagi acara 100m kuak dada wanita.

Perenang juga boleh layak menerusi OST, berdasarkan kepada penyertaan universal, iaitu negara yang tidak mempunyai atlet yang layak ke Olimpik, dibenarkan untuk menyertainya dengan seorang perenang lelaki dan seorang wanita untuk Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu Welson mengungguli acara 100m kuak kupu-kupu dengan catatan masa 55.38s, mengalahkan Low Zheng Yong (56.90s) dan Jordan Yip (56.94s) di tempat kedua dan ketiga.