X

Kindly register in order to view this article
!

Aktif di litar bukan halangan Ammer cemerlang

Ammeer Dhiyaulhaq
A
A

MINAT yang mendalam dan aktif dalam sukan permotoran termasuk berlumba dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas tidak menghalang pelumba berbakat Yamaha Super Series, Ammeer Dhiyaulhaq Errman, 18, meraih keputusan cemerlang dalam akademik.

Itulah yang dibuktikan pelumba kelahiran Kuala Lumpur tersebut yang memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan tiga hari lepas.

“Saya amat bersyukur (dengan keputusannya) kerana janjinya pada saya untuk mendapat keputusan bagus dalam akademik dia tepati, dia simpan,” kata bapanya Errman Zuhady, ketika dihubungi pada Sabtu.

Ammeer Dhiyaulhaq yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Teluk Intan, Perak, menghabiskan masanya di rumah membuat ulang kaji dan belajar secara dalam talian memandangkan semua pelajar Sekolah Berasrama Penuh diarah pulang ke rumah masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun minatnya terhadap motosikal mendalam, Ammeer tak tinggal ulang kaji dan belajar untuk SPM. Akademik dia memang cemerlang, PMR (Penilaian Menengah Rendah) dulu pun dia antara pelajar cemerlang (6A), cuma minat dia pada motosikal tu kuat sebab dia tengok ayah dan abangnya pun berlumba dan main motor,” tambahnya.

Ditanya mengenai perancangan Ammeer Dhiyaulhaq selepas ini, bapanya Errman berkata anaknya itu berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan, ekonomi atau perakaunan di universiti tempatan.

“Ammeer tak nak sambung pelajaran di luar negara sebab dia masih nak main motor lagi. Saya pun menggalakkan sebab itulah apa yang dia minat, asalkan benda tu tak haram dan tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Errman berkata selepas PMR, anaknya turut mendapat tawaran belajar di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu, Terengganu, namun memilih SEMESTI kerana sekolah itu lebih dekat dengan beberapa litar permotoran untuknya berlatih, seperti Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor dan Litar Antarabangsa Sepang.

Menurut Errman, anak ketiga daripada lima beradik itu banyak melakukan latihan di litar sambil diperhatikan oleh abangnya, Ammar Dhiyauddin Errman yang merupakan bekas pelumba Malaysian Super Series.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!