Saran kerajaan isytihar PKP kecemasan sebulan

 Persatuan PKS Malaysia menyarankan kerajaan mengisytiharkan PKP kecemasan bagi tempoh sebulan. - Gambar hiasan
Persatuan PKS Malaysia menyarankan kerajaan mengisytiharkan PKP kecemasan bagi tempoh sebulan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia berharap kerajaan akan membuat pendekatan yang tegas untuk menamatkan Covid-19.

Presiden, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hanya akan terus menjejaskan perniagaan serta seterusnya melemahkan ekonomi dan tidak membawa kepada penyembuhan sepenuhnya pandemik itu.

"Pengenaan 'sekatan' secara berulang bagi membendung Covid-19 telah menyebabkan kesusahan kepada rakyat dan perniagaan. Kerajaan sewajarnya memberi perhatian kepada masalah sebenar yang dihadapi serta membuat pertimbangan antara nyawa dan kesejahteraan hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Banyak negara lain, dengan populasi yang jauh lebih besar mampu menyelesaikan penyebaran wabak itu. Malaysia, dengan hanya lebih 30 juta penduduk, sepatutnya dapat mencari penyelesaian dengan pantas.

Beliau menyarankan agar kerajaan antara lain mengisytiharkan PKP kecemasan bagi tempoh sebulan dan menghentikan semua aktiviti ekonomi termasuk sektor pembuatan kecuali barangan keperluan sebenar seperti pertanian dan rantaian bekalan makanan dengan 50 peratus operasi.

Beliau menegaskan, semua pihak termasuk kerajaan, swasta serta rakyat perlu membuat pengorbanan bagi menamatkan pandemik ini untuk ke arah keselamatan hidup dan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: