Johor bakal terima pelaburan RM40 juta dari Dubai

Jimmy ketika mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam misi pelaburan ke UAE
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat pembuatan dan pembinaan yang berpangkalan di Dubai dijangka akan melabur sejumlah RM40 juta di negeri ini.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, syarikat berkenaan dijangka akan beroperasi sepenuhnya dalam kawasan Iskandar pada September depan.

"Untuk misi pelaburan kali ini, kita telah mengadakan satu perbincangan peringkat akhir dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai untuk melabur di Johor dengan jumlah pelaburan RM40 juta.

"Syarikat pembuatan dan pembinaan tersebut dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya di dalam kawasan Iskandar pada September 2019," katanya selepas memaklumkan hasil selepas mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam misi pelaburan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 16 hingga 20 Februari lepas dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Misi pelaburan ini turut disertai oleh Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad negeri, Datuk Baderul Sham Saad.

Jimmy berkata, hari pertama di Dubai, beliau serta delegasi mengadakan pertemuan empat mata dengan Pengarah Pelaburan UAE- Dubai, Abd Mukti Abu Bakar untuk bertukar-tukar pandangan mengenai ekonomi di UAE dan peluang-peluang pelaburan atau perniagaan semasa bagi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi Johor-UAE.

"Kami turut berkunjung ke sebuah syarikat bernama Emirates National Chemical Industries LLC (EMICHEM) bagi mengadakan perbincangan mengenai peluang pelaburan di Johor.

"Saya turut membentangkan kelebihan Johor dari segi kedudukan geografi, kemudahan logistik, utiliti dan insentif yang bakal diterima pelabur.

"Hasil pertemuan singkat tersebut, syarikat ini menyatakan minat untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata, ekspo makanan ketiga terbesar di dunia, Gulfood menjadi destinasi misi pelaburan delegasi kerajaan Johor ke Dubai.

"Expo makanan ini telah mendapat sambutan seramai 98,000 peserta daripada 193 buah negara di seluruh dunia.

"Jadi saya berpendapat pameran seperti ini boleh menjadi platform terbaik untuk membantu pemain industri makanan di Johor terutamanya di dalam industri halal dan Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan serta menjenamakan produk mereka di peringkat antarabangsa," katanya.

Ujarnya lagi, pada ada hari berikut, Fujairah Holding iaitu salah sebuah syarikat milik pemerintah Fujairah telah menjemput delegasi kerajaan negeri melawat beberapa lokasi seperti Fujairah Tower, Fujairah Free Trade Zone dan Fujairah Oil Industri Zone (FOIZ).

"Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Fujairah Holding sangat bermakna apabila telah berjaya merungkai beberapa peluang kerjasama dalam industri petrokimia dan logistik," katanya.