Korban Covid-19 pada 2021 atasi 2020

Kebanyakan negara kini bergelut dengan peningkatan kematian pesakit Covid-19. - Foto Agensi
Kebanyakan negara kini bergelut dengan peningkatan kematian pesakit Covid-19. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Angka korban Covid-19 sehingga separuh kedua 2021 adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu ketika pandemik itu melanda dunia.

Menurut data Johns Hopkins University di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 1.89 juta kematian dilaporkan sehingga Khamis lalu mengatasi 1.88 juta kematian yang direkodkan sehingga 31 Disember 2020 yang menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 3.77 juta.

Bagaimanapun, pakar percaya angka sebenar adalah jauh lebih tinggi disebabkan oleh kelewatan data dan laporan tidak lengkap di sesetengah negara atau wilayah.

Di seluruh dunia, secara purata lebih 9,000 kematian dicatatkan setiap hari dan kekal berada pada tahap tertinggi berbanding November 2020 walaupun kadar kematian baharu mula menurun sejak ia mencapai kemuncak pada April lalu.

Awal minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran rantau Pasifik Barat meliputi benua Asia sekali lagi mencatatkan kadar kematian tertinggi akibat gelombang jangkitan baharu yang melanda kebanyakan negara.

“Banyak negara masih berdepan situasi berbahaya ketika segelintir negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi mula merancang untuk melonggarkan sekatan Covid-19,” kata ketua agensi PBB itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sebagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity), negara anggota G7 merancang untuk mendermakan sebanyak satu bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara miskin malah Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menyambut baik langkah itu.

“Kita perlu menggiatkan usaha termasuk pelan vaksinasi global dan bertindak mengikut logik serta keutamaan. Tetapi, kita masih jauh untuk mencapai sasaran itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Badan amal, Oxfam memaklumkan, dunia memerlukan sekurang-kurangnya 11 bilion dos vaksin untuk menghentikan pandemik tersebut. - Agensi