Lanjut PKP: Banyak lagi hotel bakal masuk 'ICU'

Zamari Muhyi
Zamari Muhyi
A
A
A

IPOH - Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selama 14 hari lagi sehingga 28 Jun ini bakal memberi impak berterusan terhadap perkembangan industri hotel dan resort.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak, Zamari Muhyi berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan rangsangan, namun hakikatnya tidak dapat membantu kelangsungan perniagaan dalam tempoh jangka panjang.

Menurut beliau, kos utiliti yang masih tiada pengurangan, subsidi upah belum diterima, sewaan premis, tawaran moratorium yang tidak menyeluruh serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak boleh tidak perlu dicarumkan menyebabkan pengusaha terpaksa memikul bebanan berat untuk bertahan.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika ini dan perubahan peraturan operasi sering berubah untuk pengunjung menginap di hotel dan resort mengakibatkan satu demi satu hotel dan resort berada dalam keadaan tenat... ibarat berada dalam wad ICU (unit rawatan rapi), hanya menunggu untuk ditalkinkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak berkata, pendekatan secara logikal harus dilaksanakan bagi menyelamatkan industri itu daripada terus menutup operasi perniagaan dan melakukan pemberhentian pekerja.

Katanya, antara boleh dipertimbangkan, membuka semula secara bersasar dan berperingkat rentas daerah bagi produk pelancongan dan pulau peranginan kepada rakyat yang telah mengambil dos kedua vaksin Covid-19.

"Lain-lain boleh dipertimbangkan adalah menambah Pakej Rangsangan Bantuan Khas kepada pemain dan pengusaha industri pelancongan secara terus sehingga Disember 2021, penangguhan caruman KWSP untuk pekerja dan majikan serta diskaun 50 peratus bagi bayaran utiliti elektrik dan air kepada pengusaha produk pelancongan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 40 peratus hotel bajet tenat

Artikel Berkaitan: