Syor PKRC dibuka setiap daerah di Negeri Sembilan

Lateffah melihat bantuan bungkusan air mineral yang diberi kepada sukarelawan pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) JHEAINS.
Lateffah melihat bantuan bungkusan air mineral yang diberi kepada sukarelawan pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) JHEAINS.
A
A
A

SEREMBAN - Wanita UMNO Negeri Sembilan mencadangkan kerajaan negeri supaya menyediakan satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) di setiap daerah.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Lateffah Ali berkata, langkah itu perlu memandangkan kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan yang semakin meningkat.

"Sebaiknya jika setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat disediakan PKRC, tapi kalau tidak boleh pun sediakan satu daerah satu PKRC sudah memadai.

"Ia supaya lebih mudah untuk menempatkan mereka yang positif untuk menjalani kuarantin. Bukannya terpaksa kuarantin di rumah yang ada ahli keluarga sihat atau hanya tunggu bila ada gejala yang teruk," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyerahkan bantuan air mineral dan makanan sukarelawan pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Sabtu.

Menurut Lateffah, masjid atau surau yang mempunyai ruang besar antara tempat yang boleh dijadikan sebagai pusat kuarantin sementara memandangkan ketika ini ia tidak boleh digunakan.

Selain itu katanya, semua pemimpin parti perlu membuat gencatan politik dengan mengenepikan fahaman politik masing-masing dan memberi fokus kepada usaha mencari solusi memutuskan rangkaian kes Covid-19.

Beliau berkata, jika kerajaan hari ini tidak mampu untuk mencari jalan menyelesaikan kes Covid-19 di negara ini, mereka boleh meminta bantuan daripada pihak lain.

Artikel Berkaitan:

"Sudah-sudahlah. Politik dan pandemik ini perlu diasingkan. Rakyat sudah makin tertekan. Ini bukannya masa nak tunjuk siapa hebat dan siapa layak jadi perdana menteri.

"Saya sendiri boleh dikatakan hari-hari ada yang tanya di mana mereka boleh dapat bantuan. Yang kena kuarantin satu hal, belum lagi yang hilang kerja," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak kerajaan Negeri Sembilan supaya menyegerakan pemberian vaksin kepada warga emas yang tinggal di kawasan berisiko.

Sebagai contohnya kata Lateffah, DUN Ampangan antara yang merekodkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dalam daerah Seremban.

.

.