Pelajar SPM 2020 bersedia dengan pendidikan di universiti

Kejayaan pelajar SPM 2020 mencatatkan keputusan terbaik biarpun berdepan cabaran akibat Covid-19 menunjukkan mereka dalam situasi terbaik untuk mengikuti pembelajaran yang lebih mencabar di peringkat universiti. - Gambar hiasan
Kejayaan pelajar SPM 2020 mencatatkan keputusan terbaik biarpun berdepan cabaran akibat Covid-19 menunjukkan mereka dalam situasi terbaik untuk mengikuti pembelajaran yang lebih mencabar di peringkat universiti. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mencatatkan keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun biarpun berdepan cabaran akibat Covid-19 menunjukkan mereka dalam situasi terbaik untuk mengikuti pembelajaran yang lebih mencabar di peringkat universiti.

Seorang guru, Shamsukama Mohd Zahri, 45, berkata, pengalaman dan kerja keras pelajar dalam mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah mematangkan mereka untuk menimba ilmu menggunakan kemahiran digital yang sering dipraktikkan di menara gading.

“Saya berpendapat anak-anak SPM 2020 ini sedang berada dalam situasi terbaik untuk mengikuti pembelajaran di lebih peringkat tinggi kerana sedia maklum pelajar universiti jarang bersemuka dengan pensyarah dan perlu lebih berdikari dalam menyelesaikan tugasan mereka dengan mencari maklumat sendiri.

“Ini yang telah dipraktikkan pelajar ini kerana mereka sudah terbiasa mencari maklumat sendiri, menjawab soalan-soalan tambahan dan berdiskusi dengan rakan secara dalam talian sekali gus tidak akan mengalami kejutan budaya apabila melangkah ke universiti nanti,” katanya kepada Bernama.

Shamsukarma menegaskan bahawa kejayaan pelajar SPM 2020 itu juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana pelajar Tingkatan Lima itu telah mengikuti proses pembelajaran yang lebih lama iaitu sepanjang 18 bulan berbanding tahun sebelumnya iaitu kurang 12 bulan.

Malah, katanya, pembelajaran dan pemahaman bagi pelajar pada usia 17 tahun itu tidak sama seperti murid di sekolah rendah yang memerlukan bimbingan lebih kerap serta tumpuan yang lebih lama.

“Anak kecil sentiasa perlu berada di depan mata, mereka juga perlu sentiasa dipantau, dibimbing dan ditunjuk ajar kerana mereka mempunyai ‘attention span’ yang pendek, motivasi yang terbatas dan kematangan yang rendah. Berbeza dengan pelajar SPM, mereka ini sudah matang dan mampu berdikari serta mempunyai kebolehan menjana motivasi intrinsik berdasarkan rangsangan sekeliling dan akal yang cerdas,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang menganggap, kejayaan pelajar SPM 2020 adalah hasil gandingan usaha pelajar dan komitmen guru yang sanggup meluangkan lebih masa untuk mengajar melalui pelbagai medium.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain waktu PdPR biasa iaitu secara dalam talian, terdapat juga guru yang membuat kelas tambahan, menghantar modul pembelajaran ke rumah dan melakukan bimbingan secara langsung kepada pelajar mengikut keperluan mereka.

“Pelajar Tingkatan Lima ini lebih matang jadi mudah untuk mereka berurusan dengan guru melalui WhatsApp group dan menelefon sendiri guru pada bila-bila masa sekiranya mereka tidak memahami subjek yang diulang kaji,” katanya.

Biarpun ada yang musykil mengenai kejayaan SPM 2020 itu berikutan keputusan yang semakin baik walaupun dilaksanakan dalam tempoh yang sukar, Aminuddin berkata, para pelajar sememangnya layak menerima pengiktirafan atas kejayaan itu kerana walaupun berdepan halangan Covid-19, semangat perjuangan dan usaha mereka tinggi kerana menganggap peperiksaan itu sebagai penentu masa depan.

“Jangan kita letakkan hipotesis sekiranya pelajar menghadapi kesukaran pembelajaran akibat Covid-19, keputusan mereka mesti merosot. Ini tidak adil kerana semangat pelajar Tingkatan Lima tidak sama jika dibandingkan dengan tingkatan lain kerana mereka berdepan dengan SPM yang dianggap hala tuju ke universiti serta laluan kerjaya,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2020 Khamis lalu berkata, pencapaian SPM 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Perjalanan peperiksaan SPM 2020 mencatatkan rekod dan sejarah tersendiri, apabila dilaksanakan dalam keadaan negara menghadapi penularan pandemik Covid-19 yang memaksa banyak pembaharuan dilaksanakan.

Para pelajar dan semua yang terlibat terpaksa mengikuti norma baharu, bukan sahaja sewaktu peperiksaan tetapi juga sepanjang proses pembelajaran yang dilaksanakan menerusi PdPR pada sebahagian besar tempoh persediaan mereka.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan calon SPM 2020 sebagai individu hebat, yang menduduki peperiksaan dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19, selain berdepan cabaran berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Bernama