13 Jun bakal diisytihar Hari Puisi Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri akan mengisytiharkan tarikh 13 Jun sebagai Hari Puisi Malaysia bagi negara ini.

Beliau dijangka berbuat demikian ketika majlis Malam Semarak Puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) pada Ahad.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, cadangan mengisytiharkan satu hari khas untuk bidang puisi dibuat sebagai usaha memartabatkan bidang puisi sebagai satu cabang kesusasteraan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, puisi merupakan satu genre yang semakin digemari dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda dan ia juga adalah cerminan bangsa serta menjadi faktor penting dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang cintakan negara, hidup harmoni dan berbudaya tinggi.

“Selama ini masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada tahun 1999.

“Namun sehingga kini, masih belum ditetapkan satu hari khusus sebagai Hari Puisi di Malaysia. Sedangkan di Indonesia telah wujud Hari Puisi Nasional yang disambut pada setiap 28 April. Begitu juga di beberapa negara lain di dunia.

“Melihatkan kepentingan puisi dalam pembangunan sosial dan sahsiah diri masyarakat, Pemuisi amat sukacita mencadangkan agar diwujudkan satu hari khusus iaitu Hari Puisi Malaysia yang akan disambut setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, bersempena perisytiharan Hari Puisi Malaysia, DBP dan Pemuisi akan mengadakan acara Malam Semarak Puisi secara maya dan akan disiarkan secara langsung pada jam 9 malam Ahad melalui laman Facebook, Instagram dan Twitter DBP serta Facebook Pemuisi Berkarya.

Artikel Berkaitan: