KPDNHEP kaji penetapan harga siling minyak masak botol

Pandang serius pastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak masak botol lima kg terutama dalam keadaan pandamik.

Rosol (kiri) melakukan pemeriksaan SOP Akta 342 di Pasar Raya TF Value Mart, pada Sabtu.
Rosol (kiri) melakukan pemeriksaan SOP Akta 342 di Pasar Raya TF Value Mart, pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengkaji untuk menetapkan harga siling minyak masak botol lima kilogram (kg) mengikut harga pasaran semasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kementerian Kewangan akan diadakan bagi membincangkan perkara itu pada Rabu depan.

Menurutnya, kerajaan memandang serius isu itu bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak masak botol lima kg terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

"Kita sedang berusaha untuk menetapkan harga siling yang boleh dijual di pasaran dengan mendapat kerjasama dan ihsan subsidi daripada MOF," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 di Pasar Raya TF Value Mart di sini pada Sabtu.

Rosol berkata, pada masa ini, rakyat disaran mendapatkan minyak masak paket satu kg bersubsidi sebagai alternatif mengatasi masalah kenaikan mendadak harga minyak masak botol lima kg.

Beliau berkata, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan satu kg yang kualitinya setanding dengan minyak masak dalam botol.

"Ada wakil rakyat pembangkang mendakwa minyak masak subsidi satu kilogram itu ialah minyak kitar semula.

"Saya menegaskan di sini, kualiti minyak masak satu kg sama dengan minyak botol tetapi dibungkus kerana ia disubsidi oleh kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kerajaan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak dalam bungkusan satu kg setiap bulan dan mencukupi untuk menampung keperluan 32 juta rakyat Malaysia.

"Penggunaan minyak untuk rakyat di negara ini ialah 1.8 kilogram sebulan untuk isi rumah dan jika diikutkan bekalan minyak bersubsidi ini cukup untuk kegunaan rakyat," katanya.