1,927 penduduk di PKPD Kutan Tengah, Ketil jalani ujian saringan

Pemasangan kawad berduri di PKPD Kutan Tengah bagi mengelakkan penduduk di kawasan tersebut meloloskan diri. -Foto Wan Ahmad Jauzi
Pemasangan kawad berduri di PKPD Kutan Tengah bagi mengelakkan penduduk di kawasan tersebut meloloskan diri. -Foto Wan Ahmad Jauzi
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan 1,927 penduduk di Kampung Kutan Tengah (Pasir Pekan) dan Ketil (Pengkalan Kubor) di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Dr Zaini Husin
Dr Zaini Husin

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 21 penduduk dari kedua-dua lokaliti PKPD itu disahkan positif Covid-19 menerusi ujian saringan yang dilakukan bermula Khamis hingga Jumaat.

"Daripada jumlah tersebut, 20 penduduk yang positif itu dari PKPD Kampung Kutan Tengah. Sementara hanya seorang dari PKPD Kampung Ketil," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, JKNK mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kedua-dua PKPD itu yang telah memberikan kerjasama baik dalam menjalani ujian saringan tersebut.

Beliau berkata, penduduk di kedua-dua kawasan itu diminta supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 di lokasi tersebut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kedua-dua lokaliti itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Kedua-dua lokaliti itu dikenakan PKPD bermula Jumaat sehingga 24 Jun ini.

Artikel Berkaitan: