Veteran UMNO, Pas, PKR sepakat dalam isu Mageran

Dari kiri: Ahmad Kasim, Othman Desa, Abdul Wahid Endut
Dari kiri: Ahmad Kasim, Othman Desa, Abdul Wahid Endut
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran politik pelbagai parti berpandangan bahawa rakyat tidak memerlukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti pernah diwujudkan pada tahun 1969.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, sebaliknya rakyat mahu kerajaan segera mengatasi dan menyelesaikan isu Covid-19 terutamanya proses vaksinasi.

Menurut beliau, proses pemberian vaksin kepada rakyat perlu diberikan keutamaan dan bukannya penubuhan Mageran agar penularan pandemik Covid-19 dapat diselesaikan dengan segera.

"Isu kita sekarang adalah isu vaksin yang mahu diberikan kepada seramai mungkin rakyat Malaysia. Tidak perlu fikir mengenai politik atau perkara lain tetapi fokus kepada perkara ini.

"Kalau sekarang proses vaksinasi dapat melibatkan lebih 100,000 orang sehari, maka pada Julai mungkin kita boleh capai sehingga lebih 200,000 orang sehari," katanya kepada Sinar pada Sabtu.

Sementara itu, pendapat yang sama turut dikongsi Pengerusi Assibiqun (veteran) Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Menurut beliau, Mageran tidak perlu ditubuhkan pada masa sekarang sebaliknya pentadbiran kerajaan perlu berjalan seperti biasa dengan tumpuan kepada penularan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, kegiatan ekonomi juga memerlukan perhatian pihak kerajaan kerana langkah 'menyekat' rakyat secara berterusan hanya akan menyusahkan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat hendak hidup juga kalau sekiranya 'menyekat' mereka secara terus-menerus (PKP dilanjutkan) akan menyusahkan kerana mereka hendak mencari rezeki.

"Bagi mereka yang ada pencen (berpencen) tidak mengapalah, tetapi bagi mereka yang bergantung kepada rezeki dengan cara berniaga dan lain lain bagaimana?" soalnya.

Sementara itu, veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Kassim pula berkata, dalam isu Mageran pandangan beliau sama dengan pandangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Maksud saya, tidak ada keperluan untuk menubuhkan Mageran pada ketika ini. Sebab kalau kita bandingkan Mageran dulu, itu Mageran keselamatan," katanya.

Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin PKR berkata, jika ketika ini ada usul mahu mewujudkan Mageran untuk kesihatan pula maka ia langsung tidak menepati dengan konsep Mageran itu sendiri.

"Jadi saya berpandangan bahawa tidak ada keperluan ketika ini (untuk menubuhkan Mageran), dan ia tidak perlu dibangkitkan kerana tidak kena dengan suasana pada hari ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong

Mageran 2.0 solusi tuntas tangani tri-krisis

Negara tidak perlu Mageran, kata penganalisis politik