Gerobok Rezeki, kios Sama Rasa bantu penduduk terjejas

Penerima sumbangan program Gerobok Rezeki Surau Ittihadiah, Selayang Baru.
Penerima sumbangan program Gerobok Rezeki Surau Ittihadiah, Selayang Baru.
A
A
A

GOMBAK - Dalam memastikan tiada penduduk terputus bekalan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, penduduk di dua kawasan di sini mengambil inisiatif tersendiri bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Di Selayang Baru di sini, Surau Ittihadiah di kawasan berkenaan memperkenalkan Gerobok Rezeki manakala penduduk Batu 10 di sini mewujudkan kios Sama Rasa bagi membantu penduduk setempat yang memerlukan.

Pengerusi Surau Ittihadiah, Jumari Talip berkata, pihaknya membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi menyediakan keperluan asas di bawah projek tersebut.

Menurutnya, selain orang awam boleh mengambil sendiri keperluan asas di rak makanan yang disediakan di surau, pihaknya turut menyasarkan sekurang-kurangnya 30 keluarga dibantu setiap bulan.

"Sambutan yang menggalakkan menyebabkan jumlah itu ditambah kepada 70 hingga 80 set sebulan. Ini kerana dalam tempoh seminggu awal PKP 3.0 sebanyak 30 set keperluan makanan telah dihabiskan.

"Sememangnya Gerobok Rezeki ini sangat diperlukan buat penduduk sekitar di sini. Bajet pembelian keperluan akan ditambah bagi memastikan bekalan yang disediakan mencukupi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Antara penyumbang yang memberikan sokongan projek Gerobok Rezeki Surau Ittihadiah, Selayang Baru.
Antara penyumbang yang memberikan sokongan projek Gerobok Rezeki Surau Ittihadiah, Selayang Baru.

Beliau mengalu-alukan penyertaan awam untuk turut sama menyumbang bagi membolehkan program tersebut mampu bertahan dengan lebih banyak penerima memperolehi manfaatnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mereka yang ingin memberikan sokongan boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam 1406 9010 0096 93 atau penghantaran barangan terus ke surau berkenaan.

"Kebanyakan keperluan yang disediakan ini adalah daripada sumbangan orang ramai dan kariah manakala pihak surau hanya akan menambah bakinya.

"Tiada prosedur ditetapkan kepada penerima, mana-mana yang terputus bekalan boleh datang ke surau dan maklumkan kepada pengurusan untuk tujuan rekod bagi mengelak bantuan ini disalah guna.

"Kepada mereka yang diarahkan kuarantin di rumah hanya perlu hubungi kami, kami akan hantar," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Program Sama Rasa, Norbaizura Toharudin berkata, kios Sama Rasa dengan tag #kongsirezeki itu diaktifkan pada 4 Jun lalu yang merupakan inisiatif penduduk sekitar untuk sama-sama membantu antara satu sama lain.

"Kosnya hanya bergantung kepada barang keperluan yang disumbangkan dan ditambah oleh penduduk sekitar.

"Mereka yang berkemampuan digalakkan untuk menyumbang apa-apa sahaja barangan keperluan seperti beras, gula, minyak dan tepung. Asalkan tidak mendatangkan kemudaratan sementara ubat-ubatan adalah tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, kios tersebut beroperasi pada hari Selasa hingga Jumaat antara jam 10 pagi hingga 11 pagi dengan penyampaian sumbangan diberikan kepada individu yang berdaftar.

"Melalui WhatsApp, sesiapa yang memerlukan bantuan akan mengisi borang yang disediakan dan mereka yang layak akan menerima sumbangan pada hari yang ditetapkan.

"Bagi yang memerlukan barang keperluan dengan segera, boleh terus datang (walk-in) ambil barang diperlukan di rak yang disediakan," katanya