Tiada aktiviti perlombongan dalam rizab hutan simpan di Tasik Chini

Tiada lesen perlombongan baharu diluluskan di Tasik Chini.
Tiada lesen perlombongan baharu diluluskan di Tasik Chini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Pejabat Tanah dan Galian (PTD) Pahang menafikan dakwaan wujudnya aktiviti perlombongan dalam rizab hutan simpan di sekitar Tasik Chini, Pekan.

Pejabat Tanah dan Galian Pahang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu memberitahu, sebanyak 14 kawasan lombong telah diluluskan sebelum pewartaan dibuat tahun 2019, bagaimanapun selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan.

"Daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya dua perlombongan yang masih beroperasi. Namun lesen itu dijadualkan akan tamat pada bulan ini dan satu lagi akan pada hujung tahun.

"Jadi, dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peka bantah kelulusan syarikat perlombongan di Tasik Chini

Pada Jumaat, media mendedahkan isu kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan.

Kenyataan itu menjelaskan, bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan memulihara khazanah alam, Kerajaan Pahang dan pihak berkuasa negeri komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

Katanya, menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019, telah bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut juga telah dicadangkan oleh pihaknya sebagai kawasan baharu Rizab Biofera UNESCO," demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa juga tidak berkrompomi sekiranya pemegang pajakan atau operator gagal mematuhi syarat selepas melalui penilaian daripada lapan agensi.

Antara agensi teknikal yang terlibat ialah Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Pahang seperti Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berdasarkan kenyataan tersebut, pada 17 Jun tahun lalu, pihak berkuasa melalui MMK telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan atau operator di kawasan Tasik Chini kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

Malah, pihak berkuasa telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi tindakan pemulihan akibat ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan terhadap amtiviti perlombongan di Tasik Chini.

"Pemajak atau operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang atau pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera, mengenakan bayaran bon jaminan RM 250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguatkuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala. Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi," katanya.

Selain itu, pihak JAS juga sentiasa mengadakan pemantauan ke atas kulaiti air di Tasik Chini sejak 2005 yang melibatkan 15 stesen pemantauan air.

Jelasnya, hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air dan telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar ( EIA) bermula tahun 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Di samping itu, JPNP pula bermula 18 November sehingga 30 Disember 2019, telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penanaman pokok di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM250,000.

Sehubungan itu, menurutnya kenyataan terbabit, Kerajaan Pahang sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini malah di seluruh Pahang.

"Ia dilaksanakan sebagaimana ketegasan dan kejayaan terserlah melalui tindakan penguatkuasaan serta pemuliharan Sungai Ichat di Mukim Hulu Tenom daerah Cameron Highlands," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: JAS sahkan Tasik Chini bersih, selamat