Ibu mengandung turut teruja suntik vaksin

Mustapa (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan yang disediakan kepada penduduk orang asli yang menerima vaksin pada Program Outreach Covid-19 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu.
Mustapa (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan yang disediakan kepada penduduk orang asli yang menerima vaksin pada Program Outreach Covid-19 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu.
A
A
A

JELI - Proses suntikan vaksinasi dalam kalangan orang asli di Kampung Sungai Rual, di sini bukan sahaja melibatkan warga emas, malah ia turut disertai lebih 40 orang ibu mengandung.

Walaupun pada awalnya mereka risau dengan kandungan masing-masing, namun setelah diberikan penerangan oleh pegawai kesihatan, mereka bersetuju untuk mengambil vaksinasi berkenaan.

Lebih 40 ibu mengandung tersebut telah melakukan pemeriksaan kesihatan awal sebelum mereka dibenarkan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Walaupun sarat mengandung, namun mereka hadir seawal jam 9 pagi bagi memastikan dapat mendaftar sebagaimana yang telah ditetapkan melalui Program Outreach Covid-19 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, di sini.

Program Outreach Covid-19 di Kampung Sungai Rual tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turun padang memberi sumbangan bakul makanan pada Sabtu.

Seorang penduduk, Saripah Meraju, 46 tahun yang kini sedang mengandung enam bulan sangat teruja untuk mengambil vaksinasi bagi memastikan dia dan anak yang dikandung dapat menghindari jangkitan pandemik Covid-19.

Saripah Meraju
Saripah Meraju

Saripah yang mengandung anak kesembilan berkata, dia berharap dengan adanya program seperti itu akan memudahkan penduduk di kampungnya mendapatkan khidmat nasihat kesihatan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Bila ada program macam ini, kami juga boleh tengok bacaan darah kami dan sebagainya. Kalau nak keluar ke bandar jauh pula, lagipun kerajaan tidak benarkan keluar sekarang," katanya.

Seorang lagi ibu mengandung yang ditemui iaitu Che Mas Rosli, 27 tahun yang kini sedang sarat mengandung tujuh bulan memberitahu, mereka sudah pun mendapat penerangan khusus daripada agensi yang terlibat supaya bersedia untuk menerima vaksin berkenaan.

Malah katanya, dia yakin dan teruja walaupun pada awalnya mengakui pandangan negatif dan persepsi mengenai vaksin sedikit menganggu kepercayaan mereka untuk menerima suntikan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr Amirul Azman Abu Hassan ketika ditemui berkata, tok batin atau penghulu menjadi 'model' pertama suntikan vaksin tersebut bagi memberi keyakinan kepada seluruh penduduk yang lain.

"Selepas tok batin mereka cucuk barulah mereka yakin dan setuju, termasuklah juga dengan ibu mengandung yang ada dalam senarai kami.

"Apa pun mereka memberi kerjasama yang baik sepanjang masa dan kami harap mereka yang tinggal di kampung-kampung ini akan hadir untuk terima vaksin masing-masing mengikut waktu yang telah ditetapkan," katanya.