Hab perabot terancang: MFP tarik pelaburan bernilai RM1.3 bilion

 Kamaruzzaman (tiga, kiri) memberi penerangan kepada Osman (tiga, kanan)
Kamaruzzaman (tiga, kiri) memberi penerangan kepada Osman (tiga, kanan)
A
A
A

MUAR - Jualan lot kilang di kawasan Muar Furniture Park (MFP) memberangsangkan apabila pengusaha-pengusaha perabot dari daerah Muar yang kebanyakannya dari Muar Furniture Association (MFA) telah menandatangani perjanjian jual beli untuk 60 peratus daripada lot industri boleh dijual.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, justeru, pihaknya yakin bahawa projek ini mampu membawa masuk pelaburan bernilai RM1.3 bilion ke daerah Muar sebagai satu hab perabot terancang, tersusun dan bersepadu pertama di Malaysia.

“Keyakinan tersebut bersandarkan sambutan serta sokongan pengusaha perabot yang kebanyakan beroperasi di Muar yang telah menandatangani perjanjian jual beli dan menjelaskan bayaran deposit bagi 107 plot tanah dengan keluasan 274 ekar di MFP.

"Bagi 14 plot tanah dengan keluasan 37 ekar pula, mereka ini telah menandatangani perjanjian jual beli dan dalam proses membuat pembayaran deposit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, Menteri ke tapak projek MFP yang telah diusahakan oleh Konglomerat kerajaan negeri tersebut menerusi Divisyen Pembangunan Industrinya yang diterajui oleh TPM Technopark Sdn Bhd.

Pada sesi tersebut, Osman turut mendengar taklimat mengenai kemajuan dan status pembangunan terkini MFP yang dibangunkan sejak April 2018 dan dirancang untuk menawarkan ekosistem yang lengkap kepada pelabur-pelabur MFP.

Menerusi jualan lot industri hab perabot, ianya turut memberikan keyakinan dan impak positif kepada institusi kewangan untuk menyediakan kemudahan pinjaman kepada pembeli dan usahawan di sana.

Kerja-kerja pembangunan MFP yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini serta akan memulakan operasi pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Ia dibangunkan di atas tapak seluas 986 ekar ini dirancang mempunyai lot-lot industri yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan, sistem telekomunikasi, utiliti air dan elektrik yang lengkap serta menekankan tahap keselamatan pada standard yang tinggi.

Hab perabot ini turut menempatkan Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) yang diuruskan oleh Malaysian Timber Industry Board (MTIB), asrama pekerja, kilang siap bina dan lot-lot perdagangan yang amat strategik untuk dijadikan sebagai pusat pemasaran produk-produk perabot itu nanti.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Divisyen Pembangunan Industri, Zulkifli Ibrahim berkata, pembangunan MFP juga akan membolehkan inovasi dilakukan dengan menerapkan teknologi baharu sesuai dengan era industri 4.0 termasuk automasi dalam operasi pengeluarannya.

“MFP juga mempunyai pelbagai komponen aktiviti sokongan berkaitan industri perabot termasuk zon pembangunan komersil bersepadu untuk tujuan pemasaran produk hiliran seperti pusat pameran serta penyediaan perkhidmatan untuk keperluan pekerja serta komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata, ada juga dalam perancangan untuk membina kilang siap bina dengan keluasan yang bersesuaian untuk disewa atau sewabeli bagi membantu pengusaha kecil perabot yang tidak mampu membeli lot tapak kilang.

“Secara keseluruhannya, MFP menyediakan ruang dan peluang kepada pengusaha perabot tempatan untuk meningkatkan teknologi dalam operasi pengeluarannya yang sekali gus akan mendorong peningkatan kapasiti pengeluaran mereka,” katanya.