Ubai suai tangki bot sorok 6,700 liter diesel

Seorang lelaki ditahan selepas didapati menyembunyikan diesel di dalam tangki bot yang diubah suai di perairan Safma, Kota Kinabalu.
Seorang lelaki ditahan selepas didapati menyembunyikan diesel di dalam tangki bot yang diubah suai di perairan Safma, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan juragan mengubah suai tangki bot untuk menyorokkan 6,700 liter diesel gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Safma di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 63 tahun terbabit didapati tidak mempunyai sebarang permit daripada Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyimpan diesel tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, rampasan dibuat selepas sepasukan anggotanya menjalankan operasi terancang dan berjaya mengesan bot terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui lapan tangki diubah suai di bahagian dalam ruangan enjin bot berisi 5,000 liter diesel, manakala sebuah lagi tangki turut diubah suai di bahagian haluan bot berisi 1,700 liter diesel.

"Keseluruhan diesel yang disembunyikan dianggarkan sebanyak 6,700 liter. Turut ditemui satu unit mesin pam mudah alih dan hos yang disembunyikan di atas bot berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Roslan, hasil pemeriksaan mendapati juragan itu gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa serta memasarkan bahan api itu daripada KPDNHEP.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM266,905 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Bot pukat itu kemudian disita dan dibawa ke markas operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roslan dalam pada itu meminta orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti yang didapati melanggar undang-undang untuk diambil tindakan.