X

Kindly register in order to view this article
!

PIKAS dilancarkan sebagai Fasa 4 PICK bermula 16 Jun

Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan akan dilancarkan sebagai Fasa 4 daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 16 Jun.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, PIKAS dengan vaksinasi akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.

PIKAS mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

“Sektor-sektor ini penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting serta pembinaan, penyelenggaraan dan kelancaran infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan sistem penjagaan kesihatan awam,” kata MITI dalam satu kenyataan pada Sabtu.

MITI berkata, ini akan dapat mempertingkatkan tahap pencapaian imuniti kelompok dalam komuniti.

PIKAS adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang menyasarkan pekerja yang mana MITI telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan imunisasi pekerja bagi sektor pembuatan.

“Beberapa kementerian lain juga akan bertanggungjawab untuk vaksinasi pekerja bagi sektor masing-masing. Penyertaan syarikat dan pekerja dalam PIKAS adalah secara sukarela.

“PIKAS diperkenalkan berikutan cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu kerajaan menyegerakan imunisasi bagi rakyat,” kata kementerian itu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS, disokong oleh sektor swasta dalam mentadbir pengurusan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang yang akan melibatkan pengamal perubatan swasta.

Beliau berkata, susulan beberapa siri sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini, MITI akan menjalankan sesi libat urus tambahan dengan persatuan industri dan dewan perniagaan yang berkaitan untuk mengkoordinasikan program ini bersama MITI.

Setakat ini, MITI telah menerima permohonan daripada lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 106,591 untuk menyertai PIKAS.

Syarikat pembuatan lain yang berminat untuk mengambil bahagian disaran untuk mengemukakan permohonan mereka melalui persatuan industri dan dewan perniagaan sektor masing-masing.

“Keutamaan vaksinasi syarikat akan ditetapkan mengikut beberapa pertimbangan termasuk lokasi syarikat di zon merah Covid-19.

“Syarikat perlu mengikut terma dan syarat yang antaranya memerlukan pekerja berdaftar dengan MySejahtera untuk program PICK,” kata Mohamed Azmin.

Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan untuk penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan oleh pihak swasta, termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat yang sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam keutamaan vaksinasi bagi golongan yang paling memerlukan melalui PICK, namun pelaksanaan PIKAS adalah penting bagi melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!